Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Pihak pendakwaan hari ini memaklumkan mahkamah bahawa mereka dalam proses memuktamadkan kertas pertuduhan bagi salah seorang suspek yang didakwa berhubung dengan kematian seorang lelaki tempatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin turut membuat permohonan untuk kes Yusree bin Haji Ya’akub @ Yakub disebut dalam seminggu lagi sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Peguam Ahmad Zakaria yang mewakili tertuduh menyuarakan rasa tidak puas hati apabila pihak pendakwaan sekali lagi memaklumkan mahkamah yang mereka sedang meneliti bahan bukti.
“Sebelum ini pihak pendakwaan telah pun meneliti bahan bukti dan jika siasatan tertumpu pada sistem televisyen litar tertutup, saya percaya ianya tidak akan mengambil masa yang lama,” kata Peguam Ahmad Zakaria yang ingin mendapatkan jawapan yang pasti daripada pihak pendakwaan sama ada kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dalam sebutan akan datang.
Timbalan Pendakwa Raya memberitahu mahkamah yang pihak pendakwaan akan cuba memuktamadkan semuanya sebelum sebutan akan datang, dan tidak menafikan yang kes ini mengambil masa yang lama kerana ia membabitkan empat orang suspek dan juga perlu mengambil keterangan daripada 50 orang saksi.
Tertuduh bersama Supariddin bin Haji Mat Jinin, Haji Tuah bin Haji Tarip dan Moryadi bin Haji Raya didakwa bersubahat dengan beberapa lagi atas tuduhan membunuh tanpa niat Haji Aziz bin Haji Johara berusia 44 tahun di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada awal pagi 12 Januari 2017.
Keempat-empat tertuduh boleh berdepan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga seumur hidup jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang dibaca bersama Seksyen 304 (1) (b) yang sama.
Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 7 Mac untuk sebutan kes, dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong.