Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih orang yang sama – Cik Manggis

    Selepas beberapa bulan melakukan penghijrahan dan tampil dengan imej bertudung, selebriti versatil, Cik Manggis mengakui semakin selesa dengan apa yang dilalui kini.

    Jika sebelum ini ada pihak yang menganggap perubahan tersebut akan memberi kesan kepada kerjaya seni-nya, Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin, 31, ternyata membuktikan sebaliknya.

    Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga anggota kumpulan De Fam itu, dia masih lagi aktif dalam kerjaya seninya seperti biasa, malah dalam masa sama memperoleh banyak peluang untuk mencuba perkara baharu.

    “Selepas bertudung, kerjaya seni berjalan seperti biasa dan saya tidak melihat perubahan imej itu mengganggu kerjaya seni saya.

    “Saya dan De Fam masih lagi dengan aktiviti kami, cuma dari segi persembahan pentas mungkin ia tidak serancak dulu kerana keadaan semasa sekarang di mana kita semua sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

    Manggis berpendapat penampilan bertudung membuatkannya rasa lebih selesa. – Agensi

    “Saya sekarang banyak bekerja dari rumah dan terikat dengan pelbagai komitmen bersama beberapa jenama untuk menjayakan kempen mereka di media sosial.

    “Alhamdulillah rezeki semakin murah dan ia datang dalam pelbagai cara. Banyak benda dan peluang baharu yang saya dapat, sekali gus memberi pengalaman berbeza dalam kerjaya dan hidup saya sendiri,” katanya kepada media.

    Tidak hanya berbakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan tarian, Manggis juga tidak kekok berada di depan kamera beraksi sebagai pengacara. Malah penampilannya sebagai pengacara jemputan bersama Nabil Ahmad dalam program MeleTOP baru-baru ini, turut mencuri perhatian ramai apabila rata-ratanya memberikan komen positif.

    “Kalau ikutkan ini merupakan kali kedua saya buat pengacaraan, di mana kali pertama dulu saya terlibat dengan program Dangdut Star terbitan Astro pada tahun 2016.

    “Pada awalnya risau juga nak buat kerana MeleTOP merupakan program popular, apa lagi bergandingan dengan Nabil yang cukup dikenali dengan sikap spontannya.

    “Bagaimanapun alhamdulillah semuanya OK. Mungkin sebab kami berdua dah kenal lama, jadi saya mudah tangkap cara penyampaian dia.

    “Dalam pada itu, saya juga kebetulan baru sahaja selesai rakaman program 13 episod, Hello Trend terbitan RTM yang turut menampilkan saya sebagai pengacara,” katanya yang terharu dengan kepercayaan diberikan.

    Biarpun tampil dengan imej bertudung, kata Manggis, dia masih lagi orang yang sama dan tidak pernah melihat penampilan tersebut sebagai satu halangan untuknya menjadi diri sendiri dan melakukan apa yang diminatinya.– Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda