Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih ramai guna plat pudar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Hasil pemantauan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mendapati masih terdapat sebilangan kenderaan yang digunakan di atas jalan raya mempunyai plat bilangan pendaftaran yang pudar.

    Sehubungan itu, JPD, dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan mengenai peraturan yang mengawal plat bilangan pendaftaran di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68), Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan Raya (Tanda Pengenalan), 2008 .

    Peraturan yang mengawal plat bilangan pendaftaran berkenaan ialah ciri-ciri plat bilangan pendaftaran kenderaan yang dibenarkan adalah diperbuat daripada aluminium dengan permukaan nombor dan abjad tanda pengenalan timbul keluar (emboss), plat bilangan pendaftaran kenderaan mempunyai latar belakang (background) berwarna hitam dengan nombor dan abjad tanda pengenalan di atasnya berwarna putih dan dengan ukuran yang ditetapkan.

    Memandu kenderaan dengan nombor plat bilangan pendaf-taran yang pudar atau menggunakan plat bilangan pendaftaran dengan abjad yang tidak mematuhi ukuran yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan ke atas pemilik kenderaan.

    Oleh itu, orang ramai disarankan untuk mengganti plat bilangan pendaftaran kenderaan yang pudar segera di syarikat-syarikat yang diiktiraf oleh JPD.

    Pembelian plat bilangan pendaftaran kenderaan adalah dilindungi dengan jaminan atau waranti. Setakat ini, terdapat enam buah syarikat yang diiktiraf bagi membuat, membekal dan memasang plat bilangan pendaftaran kenderaan serta beberapa wakil syarikat yang dilantik iaitu BKB Sdn Bhd (BKB) dan wakilnya iaitu MNP Enterprise, Kah Huat & Brothers Workshop, Roshjaya Motor Sdn Bhd, Systemair Enterprise dan Seng Hoe Huat.

    Syarikat lain yang dilantik ialah Hock Motor Company (HMC), Syarikat Shalim (B) Sdn Bhd (SSB), Bayu Ilham Motors Sdn Bhd (BIM), CKM Transportation Services (CKM) serta New Zen View Company (ZEN) dan wakilnya iaitu Tat Lee Company, Hong Siong Hin serta Ban Lee Hua Co. Sdn. Bhd.

    Mana-mana syarikat pembekal yang diiktiraf termasuk wakilnya yang didapati tidak mematuhi peraturan-peraturan pembekalan, pembuatan dan pemasangan plat bilangan pendaftaran kenderaan akan diambil tindakan dan JPD boleh membatalkan pelantikan atau menggantung operasi bagi pembekalan plat bilangan pendaftaran kenderaan.

    Bagi maklumat lanjut, bolehlah menghubungi JPD di talian TD123 atau emel awvis@jpd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda