JAKARTA, 2 Okt – Beribu-ribu penduduk yang menyelamatkan diri daripada gunung berapi di pulau Bali enggan untuk meninggalkan pusat pemindahan selepas dibenarkan untuk pulang ke rumah mereka di luar zon bahaya.
Para pegawai mengumumkan tahap amaran paling tinggi bagi Gunung Agung, kira-kira 75km dari pusat peranginan Kuta, pada 22 September, memberitahu penduduk untuk tidak membuat perjalanan berisiko dalam lingkungan sembilan ke 12km ke gunung tersebut.
Kira-kira 144,000 orang berpindah dari rumah mereka berikutan amaran itu, termasuk kira-kira 75,000 yang tidak dalam keadaan bahaya teruk, menurut para pegawai.
Kerajaan sejak itu menggesa mereka yang dari luar zon merah untuk pulang ke rumah, namun ramai yang enggan balik.
“Sejujurnya, saya belum ada keberanian untuk pulang sekarang kerana anak saya masih lagi kecil, rumah kami terletak di lembah sempit, saya tidak tahu jika kami akan mempunyai masa yang mencukupi untuk segera berpindah jika gunung berapi meletus,” kata ibu Cecilia Eka Setyarini Utami, yang berada di pusat pemindahan di Denpasar, memberitahu AFP.

Kadek Kanda, koordinator bagi pusat pemindahan di bandar Denpasar, Bali berkata tempat berteduhnya sudah penuh dan dia terpaksa berhenti untuk menerima penduduk yang dipindahkan.
“Beberapa orang yang rumah mereka tidak dalam zon bahaya mula pulang ke rumah mereka pagi ini, namun bagi mereka yang memutuskan untuk tinggal di sini, kami tidak sampai hati untuk mengarahkan mereka pulang.”
Pusat Pengurangan Bahaya Geologi dan Vulkanologi Indonesia berkata jumlah getaran gunung berapi masih lagi tinggi – 222 antara tengah malam dan 6 pagi hari ini – namun situasi masih lagi stabil. – AFP