Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih sayang Argentina

    BUENOS AIRES, 31 MEI – Lionel Messi masih sayang skuad kebangsaan Argentina sekali pun mengharungi sedekad kekecewaan, kata rakan senegaranya Sergio Aguero menjelang kempen Copa America di Brazil, bulan depan.

    Sekali pun kabinet kedua-dua penyerang berbisa itu dipenuhi trofi di peringkat kelab, Messi dan Aguero tidak berjaya mengikutinya bersama skuad kebangsaan.

    Messi yang juga penjaring gol terbanyak sejarah Argentina dan Aguero berada dalam skuad kebangsaan yang tewas tiga aksi final kejuaraan utama berturut-turut bermula pada Piala Dunia 2014, Copa America 2015 dan Centenario Copa America 2016.

    Messi juga berada dalam skuad Argentina yang tumbang pada final 2007 kejohanan benua itu.

    Kekecewaan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu bersama skuad kebangsaan diketahui umum dan di usia 31 tahun, peluangnya untuk merangkul gelaran utama untuk negaranya mulai merosot.

    Aksi Messi semasa menjalani sesi latihan di Ezeiza, Buenos Aires pada 30 Mei lalu. – AFP

    Dia pernah bersara untuk tugasan antarabangsa sebelum ini, dan sekali pun seketika, ia mengambil tempoh selama lapan bulan sejak penyingkiran Argentina di peringkat 16 terbaik kurang setahun yang lalu.

    “Kita semua tahu hasrat Leo apabila dia datang ke sini,” kata Aguero ketika ditemui di kem latihan pasukan. “Kegembiraannya yang dibawanya mustahak kepada kami kerana kami amat mengerti mengenai betapa cintanya dia kepada skuad kebangsaan.”

    Argentina akan membuka kempen Copa America menentang Colombia dalam Kumpulan di Salvador pada 15 Jun ini dan turut diundi bersama Paraguay dan juara Asia, Qatar.

    Ketika Messi dan Aguero memiliki lebih 200 penampilan bersama skuad kebangsaan dan mengumpul 100 gol di antara mereka, jurulatih Lionel Scaloni menyenaraikan skuad kurang pengalaman pada saingan kali ini.

    “Ramai daripada kami adalah pemain baharu, staf kejurulatihan yang baharu. Tetapi Argentina tetap Argentina, kami semua sebagai pemain akan berjuang sehingga akhir bagi Argentina untuk menjadi yang terbaik,” kata Aguero. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda