Tuesday, January 28, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih tiada punca sebenar nahas pesawat Korea S didedahkan

    SEOUL, 27 JAN – Laporan pertama mengenai nahas pesawat Jeju Air bulan lalu di Korea Selatan mengesahkan terdapat bangkai burung dalam enjin pesawat, walaupun pegawai masih belum menentukan punca kemalangan yang mengorbankan semua kecuali dua daripada 181 orang di dalamnya.

    Laporan awal kemalangan yang dikeluarkan Isnin berkata, kesan bulu dan darah burung ditemui di kedua-dua enjin.

    “Sampel itu dihantar ke organisasi khusus untuk analisis DNA dan organisasi domestik mengenal pasti mereka milik burung jenis Baikal Teals,” menurut laporan itu yang mengaitkan kepada itik yang sedang berhijrah.

    Laporan itu juga berkata kotak hitam pesawat itu berhenti merakam kira-kira 4 minit sebelum nahas.

    Korea Selatan sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan mengalihkan struktur konkrit di hujung landasan lapangan terbang yang terlibat dalam nahas itu.

    Sesetengah pakar berkata bahawa localizer Lapangan Terbang Antarabangsa Muan iaitu satu set antena dalam struktur konkrit yang membantu pesawat semasa mendarat, berkemungkinan menyebabkan nahas pesawat Jeju Air lebih teruk.

    Pesawat boeing 737-800 itu terbabas dari landasan lapangan terbang itu pada 29 Disember lepas selepas gear pendaratannya gagal digunakan, merempuh struktur konkrit dan terbakar.

    Ramai pemerhati berkata struktur itu sepatutnya dibuat dengan bahan yang lebih ringan yang boleh pecah dengan mudah apabila dilanggar.

    Penyiasat berkata dua minit sebelum pelanggaran dengan burung berlaku, pengawal trafik udara telah pun memberi amaran kepada juruterbang tentang kemungkinan berlakunya pelanggaran.

    Serpihan pesawat Boeing 737-800 di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Muan, Korea Selatan, pada 31 Disember 2024. – Gambar Fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda