Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, hari ini telah mengadakan Pameran Koleksi Jemaah Masjid yang berlangsung di masjid berkenaan.
Perasmian pameran berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.
Turut hadir di majlis perasmian berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali; Pemangku Ketua Imam Masjid Al-Muhtadee Billah, Haji Abu Samah Shukri bin Haji Mohd Hussein serta para jemputan.
Haji Abu Samah Shukri semasa menyampaikan ucapannya selaku pengerusi majlis berkata bahawa pameran berkenaan bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama dan persaudaraan antara ahli-ahli jawatankuasa masjid, jemaah masjid, belia-belia masjid serta orang ramai yang mempunyai minat dalam pengumpulan barang-barang sebagai satu bahan koleksi peribadi masing-masing.
Di samping itu, ia juga diadakan untuk memeriahkan Sambutan Jubli Emas serta meningkatkan lagi pahala dalam beramal ibadat.
Pameran itu, jelasnya, disertai oleh 13 orang peserta dan antara barangan yang dipamerkan dari zaman permulaan pemerintahan Baginda Sultan sehingga sekarang seperti baju, pen, pencil, buku, majalah, surat khabar, kalendar, poster, cawan, gelas, piring, jam tangan, payung, setem, duit kertas dan banyak lagi.
Majlis perasmian itu seterusnya menyaksikan tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta pameran dan sijil penghargaan kepada jawatankuasa pembinaan pintu gerbang jubli emas.