Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid baharu dibina di RPN Kg Lugu

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lugu dan sekitarnya akan mempunyai sebuah masjid baharu yang dijangka siap dibina pada Julai 2026.

    Masjid baharu itu bakal menjadi antara masjid moden yang mampu menampung kira-kira 2,500 jemaah, dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik kuliah, perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, tandas serta tempat letak kereta, termasuk kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

    Bangunan masjid berkenaan dibina di atas sebidang tanah seluas kira-kira 7.7 ekar, dengan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) berjumlah 9.27 juta.

    Sehubungan dengan itu, majlis mendirikan tiang masjid baharu telah diadakan pagi tadi sebagai simbolik permulaan pembinaan rumah ibadat tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat bersama pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menuang simen pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menuang simen bagi pembinaan masjid baharu RPN Kg Lugu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Mohammad Aliff bin Haji Awang Madial semasa memberi ucapan alu-aluan di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama yang hadir di majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; ahli-ahli MUIB dan Majlis Mesyuarat Negara (MMN); setia-usaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan; Ra’es KUPU SB, serta para pegawai kanan kedua-dua kementerian.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

    Acara kemudian diteruskan dengan simbolik menuang simen yang didahului oleh kedua-dua tetamu kehormat, diikuti oleh para jemputan khas.

    Para hadirin turut berpeluang mendengar taklimat reka bentuk bangunan masjid baharu yang disampaikan oleh pegawai projek dari Bahagian Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Pemangku Pereka Kanan, Awang Mohammad Aliff bin Haji Awang Madial.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Zulkifli bin Haji Murat bagi memohon keberkatan pembinaan masjid yang bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan dan syiar Islam di Kampung Lugu. 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda