Wednesday, October 9, 2024
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid Baharu Kg Junjongan hampir siap digunakan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT- Penduduk Kampung Junjongan dan sekitarnya tidak lama lagi akan mempunyai sebuah masjid yang baharu dalam masa terdekat.

    Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) mengadakan Majlis Menyertu Bangunan Masjid Baharu Kampung Junjongan yang berlangsung pagi tadi.

    Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Masjid Kampung Junjongan, Awang Mohd. Azri bin Abdullah @ Abd. Rahman.

    Bangunan masjid baharu ini dibina atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang 3 ekar dengan menggunakan peruntukan perbelanjaan dari Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang berjumlah $5.2 juta.

    Pembinaan masjid baharu berkenaan telah dibina bermula dengan mendirikan tiangnya pada 18 Jun 2022 dengan kapasiti untuk menampung lebih kurang 1,600 orang jemaah dan dilengkapi pelbagai kemudahan turut termasuk tandas, tempat berwudhu, bilik serbaguna, bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kereta.

    Majlis menyertu bangunan adalah bertujuan untuk memastikan kebersihan dan kesucian bangunan masjid baharu berkenaan sebelum pemasangan permaidani dilaksanakan.

    Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar; Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Hj Mohamad Salleh Timbalan dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.

    Sebahagian daripada orang ramai yang menyertai majlis berkenaan.
    Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim turut sama menyertai majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JHEM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda