Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang dan sekitarnya akan mempunyai sebuah masjid baharu yang dijangka siap pada Januari 2024.
Sehubungan itu, Majlis Menyertu Bangunan Masjid Baharu RPN Kampung Meragang telah diadakan, hari ini, dan hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Bangunan masjid baharu tersebut dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 8.159 ekar dan menggunakan anggaran peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara berjumlah $4.3 juta.
Pembinaan masjid baharu tersebut dibina mulai dengan mendirikan tiangnya pada 30 Mac 2020.
Keseluruhan kapasiti masjid boleh menampung seramai 2,200 orang jemaah dengan menyediakan beberapa kemudahan seperti tandas untuk orang berkeperluan khas, bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kereta bagi orang berkeperluan khas.
Majlis menyertu berkenaan bertujuan untuk memastikan kebersihan dan kesucian bangunan masjid baharu itu sebelum pemasangan permaidani dilaksanakan.
Kerja-kerja menyertu turut melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Pembangunan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, penduduk kampung berkenaan dan sekitarnya.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Ketua Kampung RPN Kampung Meragang Kawasan 1, dan Ketua Kampung RPN Kampung Meragang Kawasan 2.





