BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri dan sekitarnya bakal mempunyai masjid baru menjelang Hari Raya Aidifitri tahun ini apabila pembinaan masjid menggantikan masjid yang terbakar pada 5 April lalu giat dilaksanakan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengamanahkan Pejabat Baginda untuk bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) supaya membuat penelitian dan penilaian terhadap Masjid RPN Kampung Mentiri yang terbakar itu.
Berikutan itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan keahliannya terdiri daripada wakil-wakil pejabat itu sendiri, KHEU, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Jabatan Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Tanah, Divisyen Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya dan pihak konsultan.
Hasil daripada pemikiran dan cadangan yang disembahkan oleh jawatankuasa ini, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengurniakan titah supaya masjid baru dibina di tapak yang sama dengan mengambil kira akan keperluan penduduk kampung tersebut dan kawasan persekitarannya. Masjid baru ini kelak boleh menampung lebih kurang 3,000 orang jemaah.
Baginda Sultan juga mengurniakan titah perkenan bagi Dewan Kemasyarakatan RPN Kampung Mentiri dijadikan dewan ibadah sementara supaya keperluan beribadat di kampung tersebut dan kawasan berdekatan dengannya tidak terputus dan berjalan seperti biasa.
Inisiatif menggunakan dewan kemasyarakatan tersebut sebagai dewan ibadah sementara khususnya bagi tujuan sembahyang lima waktu dan Fardhu Jumaat telah terlaksana dengan baik.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan berangkat bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat di dewan kemasyarakatan tersebut pada 14 April lalu sambil meninjau secara dekat kemudahan-kemudahan yang disediakan di tempat tersebut.
Kerja-kerja membina masjid baru bagi menggantikan Masjid RPN Kampung Mentiri yang terbakar, secara rasminya bermula dengan Majlis Peletakan Batu Asas hari ini. Kerja-kerja pembersihan tapak pula telah dimulakan lebih awal pada 14 April lalu.
Projek Julangan Titah Masjid Baru RPN Kampung Mentiri ini dijangka siap dalam tempoh kurang daripada 60 hari. Jawatankuasa khas dengan kerjasama pihak kontraktor dan pelbagai pihak lainnya kini sedang berusaha secara bersepadu untuk melaksanakan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya masjid baru ini akan dapat digunakan bagi Sembahyang Sunat Aidilfitri 1438 Hijrah.
Kerja-kerja pembinaan sedang berjalan lancar dan pada ketika tertentu, pihak pemborong akan bekerja 24 jam sehari. Untuk itu, orang ramai diminta supaya memahami keadaan ini dan dinasihatkan bersabar bagi sebarang ketikdakselesaan di sepanjang tempoh projek serta memberikan kerjasama dan berhati-hati ketika berdekatan kawasan projek.