BANGKOK, 28 FEB – Dalam persiapan menyambut Ramadan, masjid di negara Gajah Putih mula dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan lampu berwarna-warni bagi menyemarakkan suasana ibadah pada bulan mulia itu.
Tinjauan Bernama di Masjid Darul Aman yang terletak di tengah bandaraya Bangkok mendapati masjid itu dihiasi dengan tulisan ayat-ayat suci Al-Quran, lampu berbentuk bulan dan bintang, bertujuan menarik kehadiran umat Islam dari dalam dan luar negara untuk berbuka puasa bersama.
Imam Besar Masjid Darul Aman, Imam Farooq Haji Kasim berkata suasana Ramadan di kota Bangkok tidak kurang meriahnya berbanding di Selatan Thailand dan juga di Malaysia.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang Ramadan ini, termasuk majlis berbuka puasa bersama musafir dan anak yatim.
Selain itu, tujuh huffaz dijemput untuk mengimamkan solat Tarawih di masjid itu setiap malam.
“Lebih kurang 300 hingga 400 orang pengunjung dari dalam dan luar negara, termasuk dari Indonesia, Malaysia, Pakistan dan negara-negara Arab dijangka hadir untuk berbuka puasa secara beramai-ramai di masjid ini sepanjang Ramadan.
“Pihak masjid juga menyediakan juadah berbuka puasa, dengan perbelanjaan hampir 1 juta Baht sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di masjid baru-baru ini. – Bernama
