Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid di ibu kota siap sedia laksana ibadah korban menjelang Aidiladha

    KUALA LUMPUR, 6 JUN – Ketika orang ramai mula bergerak pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok, pihak pengurusan masjid di sekitar ibu kota pula sibuk mengatur persiapan bagi menjalankan ibadah korban.

    Segala aspek diteliti sama ada daripada segi logistik, mahupun petugas yang akan terlibat bagi memastikan ibadah itu dapat dijalankan dengan sempurna mengikut tuntutan agama.
    Imam Masjid Negara Mohd Nadzri Mustakim berkata tahap kesihatan petugas menjadi keutamaan agar ibadah itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

    “Selain itu, kita sediakan tempat korban, selenggara peralatan, pastikan permit lembu dan kambing diperoleh serta bersihkan kawasan sekitar. Ruang solat utama juga sudah disiapkan untuk menerima jemaah,” katanya kepada Bernama.

    Mohd Nadzri berkata sebagai masjid utama negara, pihak pengurusan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

    Beliau berkata ibadah korban di Masjid Negara akan dijalankan selama dua hari, de-ngan 19 ekor kambing dan biri-biri akan disembelih selepas solat sunat esok, manakala 10 ekor lembu pada Ahad bermula pukul 8 pagi.

    Di Masjid Amru Ibni Al-‘As, Bandar Baru Sentul dekat sini, sebanyak 10 ekor lembu yang ditempah khas dari Kelantan akan dikorbankan tahun ini.

    Imam masjid itu, Zulfahmi Samsudin berkata jemaah masjid akan memantau dan menjaga kesemua lembu berkenaan bermula malam ini.

    “Kita juga ada menyediakan beberapa pasukan termasuk pasukan cari lembu, jamuan dan teknikal yang melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi lain. Malam ini kita juga adakan jamuan berbuka puasa kepada jemaah yang berpuasa sempena puasa sunat Arafah,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda