Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid hopping: Perluas pengetahuan masjid

    KUALA LUMPUR – Ramadan bukan sekadar bulan untuk sesetengah umat Islam meningkatkan amalan, tetapi turut dijadikan peluang meneroka pengalaman beribadat di masjid berbeza saban hari.

    Di laman sosial, ramai antara mereka berkongsi tentang kegiatan ‘masjid hopping’ itu untuk berbuka puasa dan juga bertarawih, sekali gus merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam daripada kariah berbeza.

    Penerbit kandungan Siti Fakhira Norazhar, 25, berkata dia melakukan aktiviti itu bukan untuk mengikut trend, tetapi bagi memperkaya perjalanan kerohaniannya.

    “Saya bekerja di Kuala Lumpur dan banyak menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk bergerak. Oleh sebab banyak masjid yang terletak berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT), saya dan rakan-rakan mengambil peluang singgah solat di masjid berbeza,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Wanita yang menetap di Sepang, Selangor itu berkata antara masjid yang pernah disinggahinya ialah Masjid Ar-Rahah di Pantai Dalam, Masjid Tenaga Nasional Berhad di Bangsar dan Surau Al-Barakah di Menara Kembar Bank Rakyat.

    Orang ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pada cuti hujung minggu di sekitar pekarangan Masjid Sri Sendayan. – Bernama

    Siti Fakhira turut menepis tanggapan segelintir bahawa ‘masjid hopping’ hanya bertujuan mencari juadah berbuka percuma.

    “Memang ada yang datang kerana makanan percuma, tetapi itu bukan satu kesalahan. Pihak masjid sendiri menggalakkan kehadiran ramai jemaah untuk berbuka puasa bersama-sama bagi mengeratkan ukhuwah. Bahkan, ada juga jemaah yang membawa makanan sendiri,” katanya.

    Muhammad Azrie Idzmeer Rosli, 33, pula berkata dia melakukan aktiviti itu untuk memperluas pengetahuannya tentang sejarah sesebuah masjid dan komuniti sekitar.

    “Dalam kesibukan dunia moden, aktiviti ini memberi ruang kepada saya untuk menghargai kemuliaan Ramadan dan merasai semangat kebersamaan dalam komuniti Islam,” katanya.

    Muhammad Azrie turut menjelaskan perkongsian videonya di TikTok tentang aktiviti itu bertujuan menggalakkan lebih ramai umat Islam mendekati masjid.

    “Saya bukan seorang pempengaruh besar, tetapi jika perkongsian video saya ini boleh memberikan inspirasi dan maklumat yang berguna kepada orang lain untuk lebih kerap ke masjid, itu adalah satu bonus buat saya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda