Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Dalam usaha menyempurnakan dan menunaikan kewajipan Fardu Kifayah kepada orang-orang yang sudah meninggal dunia, ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Belimbing, Subok semalam menerima wakaf berupa sebuah van jenazah.
Penyerahan replika kunci van jenazah tersebut disampaikan oleh wakil pewakaf kepada tetamu kehormat majlis, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang juga Penghulu Mukim Kota Batu.
Yang Berhormat Awang Naim kemu-diannya menyerahkan replika kunci kepada Ketua Imam Masjid Kampung Belimbing Subok, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar diiringi laungan takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sebanyak tiga kali.

Menurut Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin dalam ucapan alu-aluannya, dengan adanya van jenazah itu, ia dapat membantu pihak masjid memberikan perkhidmatan sewajarnya bagi memenuhi kehendak masyarakat kampung dan orang ramai.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Abdul Hazimin Putra bin Haji Abdul Hamid dan Pemangku Ketua Bahagian Ri’ayah, Haji Awang Abdullah Fekree bin Haji Awang Abdul Hamid.