Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching menzahirkan rasa kesyukuran selepas selesainya pembacaan 30 juzuk Al Quran dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga Penaung AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching hadir dan menyertai majlis berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang dikepalai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat.
Manakala bacaan Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan doa tahlil dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Haji Abdul Malik, dan majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh peserta khatam.
Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat berkata, “ibadah membaca Al-Quran diadakan setiap hari selepas sembahyang fardu subuh dan sembahyang fardu maghrib.
“Ibadah membaca Al-Quran ini telah menjadi budaya yang sangat positif dan sangat menggalakkan di masjid ini dan saya yakin akan meningkatkan kecintaan kepada Al-Quran dan memperkukuhkan lagi perpaduan di kalangan AJK Masjid, jemaah dan di kalangan penduduk, “ jelasnya.




