Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Masjid Kampung Batu Marang, baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Taklimat dan Muzakarah yang diselajurkan dengan penyampaian sijil lantikan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid Kampung Batu Marang 2016-2018 yang berlangsung di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang turut menyempurnakan penyampaian sijil lantikan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan para penasihat jawatankuasa takmir iaitu Penghulu Mukim Mentiri, Pengarah Haji Abdul Rahman bin Haji Naim, Ketua Kampung Batu Marang, Haji Maidin bin Tarip dan Pengiran Haji Merali bin Pengiran Haji Ismail.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Batu Marang, Awang Muhammad Sharine Hadiman bin Sahari selaku Setiausaha Jawatankuasa Takmir (Pengurusan).
Taklimat di majlis itu pula telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid/Ketua Imam selaku Pengerusi Jawatankuasa Takmir, Awang Saiful Rizal bin Haji Abdul Ghafar.