Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid Muhammad Jamalul Alam, Masjid Haji Abdul Azim juara Dikir Syarafil Anam

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 20 NOV – Kumpulan dari Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan Masjid Haji Abdul Azim, Kampung Luagan Dudok masing-masing merangkul tempat pertama dalam kategori lelaki dan perempuan Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah Masjid dan Jemaah Masjid Senegara, yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Sementara itu, bagi kategori lelaki, tempat kedua disandang oleh Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar dan tempat ketiga dimenangi oleh Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.

    Manakala bagi kategori perempuan, tempat kedua dimenangi oleh Masjid Kampung Mentiri dan Masjid Az Zakireen menduduki tempat ketiga.

    Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1446H/2024M.

    Sebanyak 48 buah kumpulan bertanding dalam pertandingan tersebut, di mana 21 buah kumpulan bersaing dalam kategori lelaki dan 27 buah kumpulan bertanding dalam kategori perempuan.

    Tujuan pertandingan itu diadakan adalah bagi memberikan bimbingan, pendedahan serta peluang kepada para peserta mempelajari teknik berdikir yang betul dan mampu mempersembahkan Dikir Syarafil Anam dengan baik dan sempurna yang secara tidak langsung dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Anam dari segi fashahah, lagu dan suara.

    Di samping itu, menggalakkan para peserta untuk terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu dikir supaya dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara keagamaan.

    Ia juga dihasrat agar para peserta sentiasa mengamalkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap hari semata-mata untuk beroleh pahala, berkat dan rahmat daripada Allah SWT.

    Gambar ramai pemenang bagi kategori wanita menerima hadiah daripada tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Pemenang bagi kategori lelaki membuat persembahan semasa pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda