TEHRAN, 3 MEI – Presiden Iran Hassan Rouhani berkata masjid akan dibuka semula di sebahagian besar negara mulai esok, tatkala pegawai melaporkan penurunan dalam jumlah kematian akibat koronavirus.
Jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour berkata 47 orang maut akibat virus tersebut dalam tempoh 24 jam lalu, pengiraan harian terendah dalam 55 hari.
Beliau memberitahu sidang akhbar beliau berharap ‘trend itu akan berterusan pada hari-hari akan datang.’
Kata-kata beliau keluar tatkala Presiden Hassan Rouhani berkata 132 daerah, kira-kira satu pertiga daripada divisyen pentadbiran negara, akan ‘membuka semula masjid mereka esok.’
“Penjarakan sosial adalah lebih penting daripada solat berjemaah,” kata beliau dalam mesyuarat pasukan petugas virus negara.
Presiden berkata Islam menganggap keselamatan adalah wajib, sementara sembahyang di masjid hanya ‘disyorkan.’ Masjid dan beberapa tempat suci utama Syiah ditutup pada awal Mac di tengah wabak COVID-19 paling teruk di Timur Tengah. Daerah yang disasarkan adalah ‘berisiko rendah,’ kata Rouhani.
Pasukan petugas virus juga menimbang untuk membuka semula sekolah pada 16 Mei untuk membenarkan kelas disambung sebulan sebelum cuti musim panas. – AFP