Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Masjid Omar ‘Ali Saifuddien telah menerima kunjungan hormat daripada Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr Vjosa Osmani-Sadriu dan suami, First Gentleman, Prindon Sadriu serta rombongan pada hari ini.
Keunikan seni bina Masjid Omar ‘Ali Saifuddien menjadikan masjid berkenaan sebagai mercu tanda ikonik negara dan antara daya tarikan utama kepada para pelancong yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.
Masjid yang terletak megah di tengah-tengah Bandar Seri Begawan ini mula dibina pada 1 Jamadiakhir 1372 Hijrah bersamaan 4 Februari 1954 Masihi, dan telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 26 September 1958.
Masjid itu merupakan cetusan idea Al-Marhum sendiri sebagai simbol kepercayaan teguh rakyat terhadap agama Islam serta lambang identiti pemerintahan Melayu Islam Beraja (MIB) di negara ini.
Puan Yang Terutama sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam selama empat hari, bermula 3 hingga 7 Mei.

Ketibaan Puan Yang Terutama dan rombongan telah dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.
Semasa lawatan, Puan Yang Terutama berkesempatan menyaksikan klip video mengenai sejarah dan pembangunan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, sebelum meneruskan lawatan ke sekitar kawasan masjid.
Acara turut diserikan dengan sesi menandatangani buku lawatan oleh Puan Yang Terutama, diikuti dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Lawatan rasmi itu dipercayai akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Kosovo.
Turut hadir ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Menteri Pengiring dan isteri.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.