Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kumpulan Dikir dari Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Pandan B muncul sebagai johan bagi kategori lelaki di Pertandingan Dikir Brunei bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT), Muslimah Masjid dan Jemaah Masjid Berumur 45 Tahun ke atas Senegara Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-41 (HK-41).
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Masjid Sultan Sharif Ali Mukim Sengkurong dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti Kampung Burong Pingai Ayer.
Sementara johan bagi kategori perempuan dinobatkan kepada Kumpulan Kementerian Pendidikan selaku pasukan jemputan, tempat kedua dimenangi Kumpulan Masjid RPN Pandan B dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Masjid Kampung Labi.
Seterusnya Pakaian Terbaik Lelaki dimenangi oleh Kumpulan Masjid RPN Kampung Pandan B dan Pakaian Terbaik Perempuan dimenangi oleh Kumpulan Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid selaku wakil peribadi Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Pertandingan anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama AJKT Masjid RPN Kampung Pandan, menyaksikan 21 kumpulan yang berentap dalam pertandingan berkenaan terdiri daripada 10 kumpulan lelaki dan 11 kumpulan perempuan yang berlangsung di Masjid RPN Kampung Pandan.
Dikir Brunei merupakan khazanah berharga yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu Brunei dan adalah salah satu kebudayaan beragama yang telah diamalkan dalam kehidupan orang-orang Brunei sejak zaman-berzaman.