Masjid ‘seramik’ tarik pelancong seluruh dunia

NILPHAMARI, BANGLADESH – Terdapat sebuah masjid yang terletak di Nilphamari, 360km barat laut ibu kota Bangladesh, Dhaka, memiliki seni bina unik yang telah menarik ramai pelancong selama berabad-abad.

Dibina pada tahun 1863, masjid yang indah ini dibina dengan gaya seni bina standard bangunan yang dikaitkan dengan tradisi Islam.

Istimewanya masjid ini ialah dindingnya dihiasi dengan 25 tan pinggan barangan China dan kepingan kaca.

Terserlah keindahan seramik dan kepingan batu China sehingga tempat ibadat itu tidak lama kemudian dikenali sebagai ‘Masjid Chini’ yang telah menarik pengunjung dari seluruh dunia.

Dibina oleh rakyat
Hafez Muhammad Arif Reza adalah muazin yang ditugaskan untuk melaungkan azan dari menara lima kali sehari. Beliau memberitahu Xinhua masjid itu dibina pada tahun 1863 oleh Haji Bakir Ali Ahmed sebagai tempat solat kecil. Keturunan Ahmed memperluaskan dan mengubah suai masjid itu, memperindahnya dengan hiasan seramik Cina yang dibawa dari Kolkata, India.

Gambar menunjukkan Masjid Chini di Nilphamari, Bangladesh. – Xinhua
Kelihatan seorang lelaki melawat Masjid Chini. – Xinhua

“Orang ramai membina masjid secara beransur-ansur dengan sumbangan mereka sendiri,” kata Hafez.

Masjid ini terbahagi kepada tiga bahagian, satu dibina semasa zaman British, satu semasa zaman Pakistan dan yang terbaharu semasa Bangladesh moden. Ia tidak direnovasi sejak penubuhannya.

“Ramai pelancong dari dalam dan luar negara kini datang melawat masjid kami,” katanya.

Teknik yang menarik
Hampir 300 keping batu marmar silang digunakan untuk menghias Masjid Chini. Bersama-sama dengan batu marmar silang itu, kira-kira 25 tan pecahan kecil pinggan mangkuk China dan kepingan kaca, di mana kedua-dua berwarna dan tidak berwarna digunakan, menjadikannya salah satu arkitek yang paling menarik dan tersendiri di Bangladesh.

Rahimul Haque Afrat, seorang pelajar di North South University di Dhaka datang ke Nilphamari bersama rakan-rakannya hanya untuk melihat masjid.

“Kami terpesona dengan kesenian,” katanya.

“Seni bina jenis ini tidak banyak dilihat di Bangladesh, ia akan menarik minat sesiapa sahaja.

“Saya dan rakan-rakan sangat kagum. Kami menyukainya.” – Xinhua