ABU DHABI, 17 OGOS – Pusat Masjid Besar Sheikh Zayed di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerima seramai 4,346,831 tetamu pada separuh pertama 2025, peningkatan lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), jumlah itu merangkumi 1,948,482 jemaah dan tetamu berbuka puasa, 2,355,165 pelawat serta 43,184 pengguna trek joging.
Solat Jumaat menarik kehadiran 127,672 jemaah, solat harian 346,671, manakala Ramadan dan Aidilfitri mencatatkan 575,372 jemaah. Pada 25 Mac iaitu malam ke-27 Ramadan, masjid itu menerima 72,710 jemaah, termasuk 11,483 bagi solat Tarawih dan 61,050 bagi solat Tahajjud.
Di bawah inisiatif ‘Tetamu Berbuka Kami’, sebanyak 2.6 juta hidangan disediakan.
Daripada jumlah itu, 898,767 diedarkan di Masjid Besar Sheikh Zayed, 442,345 di Masjid Besar Sheikh Khalifa bin Zayed di Al Ain, 1.16 juta di kawasan penempatan pekerja dan 105,935 di lokasi lain di Abu Dhabi.
Semasa Aidiladha, seramai 96,497 tetamu hadir, termasuk 41,385 jemaah, 54,751 pelawat dan 361 pengguna trek Joging. Kemudahan parkir turut merekodkan sebanyak 988,411 buah kenderaan. – Bernama


