Masjid terbesar Afrika dirasmikan

ALGIERS, 28 OKT – Masjid Besar Algeria, masjid ketiga terbesar di dunia dan terbesar di Afrika, akan mengadakan solat berjemaah pertamanya hari ini, satu setengah tahun selepas siap pembinaannya.

Dikenali oleh penduduk setempat sebagai Djamaa El-Djazair, struktur moden itu merangkumi 27.75 hektar, dan lebih kecil daripada dua masjid di Mekah dan Madinah, tapak paling suci Islam di Arab Saudi.

Presiden Abdelmadjid Tebboune dijangka merasmikan dewan sembahyang masjid, yang mempunyai kapasiti maksimum 120,000 orang, pada satu majlis hari ini, sehari sebelum ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad.

Namun kehadirannya diragui selepas pejabatnya mengumumkan sehari sebelumnya bahawa beliau telah dimasukkan ke hospital.

Masih tidak jelas jumlah orang yang dibenarkan untuk menghadiri solat di tengah pandemik koronavirus.

Masjid itu dihasratkan dijadikan pusat teologi, kebudayaan dan penyelidikan, dan kompleks itu termasuk sebuah perpustakaan yang boleh menempatkan satu juta buku.

Memaparkan seni bina geometrik, ia juga mempunyai menara tertinggi dunia, pada 267 meter, serta dipasang dengan lif dan platform untuk menawarkan pemandangan ibu negara dan Teluk Algiers. – AFP

Gambar menunjukkan Masjid Besar Algiers, juga dikenali sebagai Djamaa El Djazair, di Algiers kelmarin. – AFP