Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengumumkan bahawa penutupan sementara masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara yang akan berakhir malam ini, dilanjutkan lagi selama seminggu sehingga 4 Mei depan.
Lanjutan penutupan berkenaan disebabkan masih ada kebimbangan mengenai bahaya jangkitan COVID-19 di negara ini, jelas Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan, ketetapan penutupan sementara itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) berdasarkan keterangan daripada Kementerian Kesihatan berhubung keperluan meneruskan langkah-langkah membendung penularan jangkitan wabak COVID-19 dan berpandukan hukum syarak sebagaimana yang difatwakan dalam Fatwa Mufti Kerajaan bil 02/2020.
Untuk kemudahan orang ramai, tambah beliau, MUIB telah mengeluarkan tatacara pembayaran zakat fitrah dan harta sepanjang bulan Ramadan tahun ini melalui e-poster dan berita yang telah dikeluarkan.
Masjid-masjid, surau dan balai ibadat akan dibuka untuk pembayaran zakat fitrah dan harta mulai jam 8:30 pagi hingga 11 pagi dan 1 petang hingga 3 petang setiap hari dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan terutama dengan melakukan penjarakan sosial di kawasan ruang legar atau beranda masjid sahaja.
Sekiranya sesebuah masjid berkenaan tidak mempunyai ruangan sedemikian, maka satu ruangan lain di kawasan berhampiran masjid akan digunakan. Bagi langkah-langkah lain untuk memudahkan pembayaran zakat fitrah dan harta, usaha-usaha juga sedang diatur agar pembayaran dapat dibuat di bangunan-bangunan utama kementerian-kementerian secara berjadual. Amil-amil dari Jabatan Majlis Ugama Islam akan menjalankan kutipan tersebut.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menasihatkan orang ramai untuk melaksanakan kewajiban pembayaran zakat lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau terpaksa beratur panjang pada saat-saat akhir sepertimana pengalaman lalu apabila ramai umat Islam yang membayar zakat fitrah mereka pada ‘malam pukul’ iaitu malam Hari Raya Aidilfitri.
Menyentuh mengenai solat Sunat Tarawih di rumah-rumah, Yang Berhormat Pehin berkata, kementeriannya menghargai umat Islam di negara ini yang mengerjakan solat Sunat Tarawih di rumah masing-masing bersama ahli keluarga dengan berpandukan kepada garis pandu Kementerian Kesihatan tentang bilangan dan kesesuaian ruangan dalam rumah dan imam dari kalangan keluarga.
Beliau turut menyatakan bahawa KHEU turut mengambil maklum bahawa ada sesetengah keluarga yang memerlukan imam dari bukan kalangan keluarga iaitu guru-guru agama bertauliah untuk menjadi guru dan imam mereka yang mana dalam hal ini ia dibenarkan.
