Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid Yayasan rai penubuhan ke-25

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya bagi meraikan peranan masjid berkenaan sebagai mercu tanda keagamaan dan pusat ibadat masyarakat setempat.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti bacaan Tahlil Arwah oleh Bilal Masjid Yayasan, Awang Mohammad bin Rosdin, serta bacaan Doa Tahlil Arwah dan Doa Kesyukuran oleh Imam Masjid Yayasan, Awang ‘Abdul Rauf bin Haji Ismail.
     
    Sesi diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Imam Masjid Yayasan, Haji Jalaluddin Jamil bin Mohd Kushairi Azam, selaku pengerusi majlis. Sambutan turut diserikan dengan persembahan puisi oleh wakil Belia Imtiyaz dan persembahan tausyeh oleh Muslimah masjid.
     
    Bagi menghargai sumbangan dan jasa, cenderahati turut disampaikan kepada mantan imam dan bilal oleh tetamu kehormat. 
     
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa bacaan Doa Tahlil Arwah dan Doa Kesyukuran pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Yayasan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim mengadakan lawatan ke pameran Belia Imtiyaz. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Doa Peliharakan Sultan turut dibacakan bagi menzahirkan rasa syukur dan memohon keberkatan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah serta kerabat Baginda sentiasa dirahmati dan dilanjutkan usia dalam kemuliaan dan kesejahteraan.
     
    Sebagai sebahagian daripada acara, tetamu kehormat turut merasmikan Revolusi Belia Imtiyaz dan mengadakan lawatan ke pameran masjid serta pameran Belia Imtiyaz.
     
    Acara itu bukan sahaja memperingati perjalanan 25 tahun Masjid Yayasan sebagai pusat ibadat dan pengimarahan syiar Islam, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
     
    Masjid Yayasan merupakan wakaf peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bagi menyediakan kemudahan ibadat kepada penduduk Rancangan Perumahan Yayasan Kampung Bolkiah ‘A’, Kampung Bolkiah ‘B’ dan kawasan sekitarnya. 
     
    Ia mula digunakan pada 27 Oktober 2000 dan terus menerima sokongan berterusan daripada Yayasan dalam memperkasakan kegiatan takmir masjid.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda