Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 7 Ogos – Seramai 113 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah, belia dan beliawanis serta murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Zainab Lumut, Daerah Belait telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72, di masjid berkenaan di sini, petang tadi.
Majlis anjuran ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah Masjid Zainab merupakan pesambah istimewa bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-72.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha di Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua kampung dan para jemaah masjid.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Al-Quran bermula daripada Surah Ad-Dhuha hingga An-Naas yang dipimpin oleh Pemangku Bilal Masjid Zainab, Haji Abu Bakar bin Haji Hassan, disusuli dengan bacaan Tahlil oleh ahli Jawatankuasa takmir masjid, Haji Ahmad bin Haji Mukibat. Acara diteruskan dengan bacaan Doa Khatam oleh murid kelas Al-Quran dan Muqaddam masjid berkenaan iaitu Awang Mohd Hadi Faiz bin Amerul Shah.


Selesai sembahyang fardu Isyak berjemaah, acara diteruskan lagi dengan Dikir Marhaban oleh para guru kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Zainab.
Pada majlis itu tetamu kehormat juga berkesudian menyampaikan saguhati kepada guru pentasmik bacaan khatam dan diselajurkan dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis. Untuk memberkati majlis, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Pemangku Imam Masjid Zainab, Awang Soffian bin Bidin.
Antara tujuan majlis tersebut adalah sebagai tanda memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan seorang raja yang telah memimpin rakyatnya ke arah jalan yang membawa kepada kebajikan dan kebaikan. Selain untuk menggalakkan para jemaah dan belia untuk aktif dalam apa jua kegiatan yang dianjurkan oleh masjid dan sekali gus dapat memakmurkan lagi masjid.
Di samping dapat menanamkan rasa cintakan membaca Al-Quran dan diharapkan dengan majlis seumpama itu akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa takmir masjid dengan para jemaah dan belia.