Monday, July 21, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masters Malaysia 2025: Aaron-Khai Xing mara undian utama

    KUALA LUMPUR, 20 MEI – Masalah kesihatan kerana demam tidak menghalang pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Tai tampil bertenaga bersama pasangannya Kang Khai Xing untuk melangkah ke undian utama Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

    Aaron, 18, berkata sorakan padu penyokong tempatan menjadi pembakar semangat untuk mereka mencatat kemenangan straight set ke atas rakan senegara Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Fazriq Mohamad Razif, 21-17, 21-17 dalam masa 34 minit pada pusingan kelayakan.

    “Saya mula rasa tak sihat sejak semalam, tapi langsung tidak terfikir untuk menarik diri.

    Memang badan rasa lemah masa masuk gelanggang, tapi bila dengar sorakan penonton semangat saya terus membara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Sementara itu, Khai Xing berkata mereka akan mendapatkan pandangan barisan kejurulatihan sebelum turun menentang beregu Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer yang muncul naib juara Terbuka Thailand 2025 minggu lepas.

    Terdahulu, pasangan Denmark itu menyingkirkan satu lagi beregu negara Chia Weijie-Lwi Sheng Hao dengan kemenangan 21-9, 21-16.

    “Prestasi kami masih belum konsisten, jadi kami dalam fasa mencari rentak terbaik. Ia bukan sesuatu yang boleh dicapai serta-merta, tapi kami terus berusaha,” kata Khai Xing.

    Dalam pada itu, beregu campuran negara Ming Yap Too-Lee Yu Shan turut melakar kejayaan apabila menewaskan pasangan India Mohit Jaglan-Lakshita Janglan 21-15, 21-16 untuk menempah slot ke undian utama, sekali gus mengatur pertemuan dengan pasangan Thailand Ratchapol Makkasasithorn-Nattamon Laisuan pada pusingan pertama.

    Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi wakil perseorangan lelaki Malaysia yang gagal melepasi pusingan kelayakan diketuai Kok Jing Hong yang tewas kepada pemain China Hu Zhe An, 20-22, 11-21, diikuti Aidil Sholeh tersungkur kepada pemain Taiwan Huang Yu Kai, 21-8, 17-21, 18-21. – Bernama

    AARON Tai (kiri) dan Kang Khai Xing tewas kepada pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, 21-19, 16-21, 14-21 pada aksi pusingan kedua Thailand Masters 2025 di Stadium Nimibutr, Bangkok pada 25 September 2024. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda