Masters Sepanyol: Beregu Malaysia tundukkan lawan

KUALA LUMPUR, 20 FEB – Dua pasangan beregu campuran Malaysia memulakan kempen Kejohanan Badminton Masters Sepanyol di Barcelona dengan menewaskan lawan masing-masing kelmarin.

Tampil sebagai pilihan pertama, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mara ke pusingan kedua apabila dengan mudah menundukkan beregu gandingan dua negara Israel/Belarus, Misha Zilberman dan Katsiaryna Zablotskaya, dengan 21-12 dan 21-11 dalam masa hanya 24 minit pada perlawanan yang diadakan di Pusat Sukan Olimpik Vall d’Hebron, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Rakan sepasukan mereka yang juga pilihan kedua Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing, bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mengalahkan pasangan dari Rusia, Rodion Alimov dan Alina Davletova; 18-21, 21-17 dan 21-19 dalam satu lagi pusingan pertama.

Pemain perseorangan profesional Malaysia, Liew Daren juga berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan HS Prannoy dari India; 21-18 dan 21-15. – Bernama