Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masyarakat Greek teruja pelajari budaya Cina

    ATHENS – Kehangatan sambutan Tahun Baru Cina jelas masih dapat dirasakan dan Yayasan Kebudayaan Stavros Niarchos (SNFCC) telah mengadakan sebuah acara, baru-baru ini, bagi sama-sama meraikan kehadiran Tahun Ayam Jantan ini dengan rasa gembira.

    Sekitar 40 orang kanak-kanak yang berusia di antara empat ke lapan tahun telah menghadiri bengkel kraftangan di mana ia memberikan peluang kepada mereka untuk menghasilkan layang-layang tradisi China yang diperbuat daripada kertas di mana ia adalah salah satu kebudayaan masyarakat Cina yang sangat menarik.

    Setelah berjaya menzahirkan kreativiti mereka pada layang-layang yang dihasilkan, setentunya kanak-kanak itu berasa teruja untuk menerbangkannya di sekitar ruang dalaman dan luaran pusat kebudayaan yang memiliki ruang yang luas itu.

    Keceriaan jelas terpancar di wajah setiap kanak-kanak yang mengikuti bengkel kraf tersebut yang secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mengetahui keistimewaan budaya masyarakat Cina.

    “Kesemua kanak-kanak yang menyertai aktiviti ini jelas kelihatan sangat terhibur. Mereka telah berjaya menggunakan daya kreativiti mereka dengan bersungguh-sungguh dalam seni pembuatan layang-layang itu dan keceriaan yang terpancar di wajah mereka jelas memperlihatkan rasa kepuasan hati untuk menghasilkan sesuatu yang sangat menarik,” jelas Joanna Mavridou, yang turut menemani anak lelakinya ketika menghadiri bengkel kraf tersebut kepada Xinhua.

    Antara tanglung menarik yang berjaya dihasilkan oleh para peserta.
    Antara tanglung menarik yang berjaya dihasilkan oleh para peserta.
    Persembahan tarian naga merupakan salah satu kebudayaan Cina yang biasa dapat disaksikan sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.
    Persembahan tarian naga merupakan salah satu kebudayaan Cina yang biasa dapat disaksikan sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.

    “Sebagai seorang ibu, saya sentiasa berusaha untuk memberikan rangsangan kepada anak saya untuk terus berminat dalam mempelajari dan mengetahui budaya dan tradisi yang lain agar dia dapat terdedah dan mencipta satu hubungan baik dengan sesuatu budaya yang berbeza. Hasilnya setentunya positif memandangkan ia boleh memperluaskan lagi pengetahuan dalam diri mereka,” tambah Mavridou.

    Manakala, golongan dewasa juga turut tidak ketinggalan untuk melakukan aktiviti kreatif yang menyeronokkan seperti menghasilkan tanglung daripada kertas sekaligus menjadi satu cenderahati menarik hasil penyertaan di dalam aktiviti tersebut.

    Selain itu, mereka juga turut diberikan peluang untuk menghias sebuah patung naga dengan kertas dan lampu berwarna-warni sekaligus melakukan aksi tarian naga.

    Naga memberikan simbolik kepada nasib yang baik, kebijaksanaan dan kuasa. Manakala persembahan tarian naga yang dipersembahkan nyata jelas berjaya memukau para hadirin di pusat kebudayaan tersebut.

    “Persembahan tarian naga jelas merupakan sesuatu perkara yang baru di Greece dan ia membuatkan saya berasa teruja untuk menyaksikannya sendiri sekaligus membuatkan saya hadir pada acara ini,” jelas Dimitri yang menyertai bengkel tersebut bersama teman wanitanya.

    m11 d_090217

    Kanak-kanak cukup teruja dalam menggunakan daya kreativiti mereka pada seni pembuatan layang-layang daripada kertas.
    Kanak-kanak cukup teruja dalam menggunakan daya kreativiti mereka pada seni pembuatan layang-layang daripada kertas.

    m11 E_090217

    Di samping itu, bengkel tersebut juga turut dimeriahkan lagi dengan tayangan dua buah filem popular China iaitu Dragon, sebuah filem arahan Peter Chen pada tahun 2011 dan The Grandmaster yang mengisahkan mengenai keagungan tokoh seni mempertahankan diri, Ip Man.

    Ternyata, kedua-dua filem bercorak aksi dan menampilkan adegan seni mempertahankan diri itu berjaya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di kalangan penonton di pusat kebudayaan tersebut.

    “Majlis sambutan Tahun Baru Cina ini adalah merupakan antara salah satu cara untuk memberikan pendedahan mengenai budaya luar dan memang telah menjadi di antara misi yang harus dilaksanakan adalah untuk memberikan pendedahan mengenai keunikan sesebuah budaya luar yang sangat menarik,” jelas Pengurus dan Juruatur acara SNFCC, Gabriella Triantafyllis.

    Tambah menarik lagi, adalah pengalaman peribadi di kalangan para pengembara turut dikongsikan di dalam acara tersebut di mana ia dijangka akan dapat meningkatkan lagi minat para pengunjung untuk mengetahui keunikan budaya luar yang sangat menarik

    “Beberapa tahun lalu, saya telah berkesempatan untuk mengunjungi Shanghai sewaktu sambutan Tahun Baru Cina dan saya jelas berpeluang untuk merasai dan mempelajari pelbagai keunikan budaya yang diamalkan di negara itu seperti pakaian tradisi berwarna merah, hiasan tanglung, tarian naga dan persembahan bunga api di mana ia setentunya menjadi satu pengalaman yang sangat menarik untuk di kenang,” jelas Triantafyllis, salah seorang pengembara. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda