Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masyarakat main peranan penting lindungi tandas awam

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tanggungjawab memelihara dan menjaga kebersihan tandas awam bukan hanya terletak di bawah penguasaan pihak kerajaan, pengurus atau pemilik tandas mahupun pihak relevan semata-mata.

    Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak terutamanya masyarakat untuk memainkan peranan dalam menjaga keselesaan dan kebersihan tandas awam.

    “Kebersihan tandas awam itu pastinya menjadi tanggungjawab bersama, bukan hanya bergantung kepada kerajaan mahu pun pemilik tandas. Kita selaku orang awam perlu sentiasa menyemai nilai-nilai menjaga kebersihan dalam diri apabila menggunakannya.

    “Oleh itu, betapa pentingnya aspek pendidikan murni itu dalam menjaga kebersihan tandas awam dikongsikan kepada semua pihak sebagai salah satu usaha berterusan untuk sama-sama menjaga imej negara,” jelas Pegawai Pelancongan, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Awang Affandi bin Haji Alias, semasa ditemui penulis pada Acara Pemberigaan Standard Kebangsaan Tandas Awam Piawai Brunei Darussalam, PBD 32:2017 – Tourism Services Standard: Public Toilet bagi sesi kedua di Kompleks Kemasyarakatan Tutong, Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Menerusi langkah pemberigaan dalam memperkenalkan PBD 32:2017 – Tourism Services Standard: Public Toilet berkenaan, ia menyediakan garis panduan asas dalam memastikan kebersihan tandas awam. Piawai ini terhasil dari ASEAN Public Toilet Standard yang memfokuskan kepada empat kriteria iaitu reka bentuk dan sistem pengurusan alam sekitar; peralatan dan kemudahan; kebersihan; dan keselamatan.

    Awang Affandi semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
    Poster maklum balas kebersihan tandas awam yang turut diletakkan di tandas-tandas terpilih yang memang di bawah pemantauan jabatan misalnya restoran, tempat-tempat menarik pelancongan, pos-pos kawalan, dan sebagainya.
    Awang Abdul Aziz turut berkongsi pandangan kepada penulis bahawa dengan adanya acara tersebut dapat memberi kesedaran untuk sama-sama menghargai segala kemudahan yang sudah disediakan.
    Antara peserta yang hadir pada acara pemberigaan tersebut.

    Dalam pada itu, Awang Affandi menambah bahawa adalah menjadi harapan tulus pihak jabatan untuk mewujudkan kesedaran kepada golongan awam secara menyeluruh menerusi pelaksanaan pemberigaan ini lebih-lebih lagi dengan inisiatif penggunaan poster maklum balas kebersihan tandas awam yang diletakkan di ruang masuk tandas sehingga membolehkan mereka menggunakan kod QR dan juga google form untuk memberi maklum balas yang sesuai dengan real-time. Ini sebagai salah satu langkah untuk memudahkan pihak jabatan melaksanakan pemantauan dan juga penyelenggaraan atau apa-apa sahaja kerja kebersihan tandas awam.

    Beliau turut berkongsi pada masa ini, pihak jabatan hanya memberikan poster maklum balas berkenaan bagi tandas-tandas yang terpilih yang memang di bawah pemantauan jabatan misalnya restoran, tempat-tempat pelancongan, pos-pos kawalan, taman-taman rekreasi dan pusat membeli-belah. Poster-poster maklum balas ini akan dilaratkan ke tandas-tandas kawasan sekolah atau tempat-tempat yang lain. Tambahnya lanjut, beberapa masalah yang biasa dikenal pasti ialah dari segi ketiadaan sabun tangan, tisu tandas dan tidak dinafikan juga saluran paip bocor dan lantai dalam keadaan basah serta berlakunya vandalisme.

    Sementara itu, Ketua Kampung Sengkarai Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku salah seorang peserta acara berkenaan, turut berkongsi pandangan kepada penulis bahawa dengan adanya acara berkenaan dapat membuka mata dan jiwa kita semua untuk sama-sama menghargai segala kemudahan yang sudah disediakan secara percuma iaitu salah satunya dengan menjaga kebersihan tandas awam.

    “Seperti yang kita sedia ketahui, tandas awam ini bukan hanya digunakan oleh penduduk setempat bahkan juga para pelancong yang datang ke negara ini. Maka dalam hal ini kita semua perlu memainkan peranan masing-masing untuk menyedari betapa pentingnya langkah memperindah segala kemudahan yang ada kerana ia juga menjadi penentu imej negara,” tambahnya.

    Di samping itu juga, menerusi acara ini, dapat menambah pengetahuan baharu kepada Awang Abdul Aziz mengenai adanya penilaian tertentu untuk menentukan tahap gred tandas awam berdasarkan empat kriteria yang telah ditetapkan.

    “Selaku ketua kampung, langkah seterusnya yang akan dirancang ialah memberigakan kepada para penduduk kampung pada masa terdekat untuk mengutamakan apa sahaja kemudahan yang disediakan sama ada lama atau baharu termasuklah tandas awam.

    “Saya memohon untuk jangan terlepas pandang akan aspek kebersihan, lebih-lebih lagi agama Islam sememangnya menitikberatkan nilai-nilai kebersihan dalam kehidupan sehari-hari, di samping sentiasa mematuhi peraturan dan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan kemudahan awam termasuklah tandas awam,” ujarnya.

    Manakala menurut salah seorang lagi peserta yang menyertai acara pemberigaan berkenaan, Pengurus Kompleks Bunga Cempaka, Pekan Tutong, Haji Kifli bin Haji Matbas berpandangan bahawa kebanyakan tandas awam di negara ini dilihat kekurangan dari segi pemantauan dan juga penyelenggaraan termasuklah adanya kerosakan paip, dinding tandas diconteng dan sebagainya.

    “Oleh itu, sebaik-baiknya setiap tandas awam itu memiliki CCTV dan mengupah pekerja untuk membersihkan secara tender. Semua ini perlu menjadi keutamaan dari semasa ke semasa,” tekannya.

    Dalam pada itu, Haji Kifli turut menyatakan apabila adanya pembayaran yang dikenakan bagi penggunaan tandas-tandas awam lebih-lebih lagi setelah dipantau dari segi keselamatan dan kebersihan secara rutin oleh pihak pengurusannya, maka ia pastinya mampu mewujudkan keselesaan bersama sekali gus jika hal ini ditanai secara berterusan kita mampu meningkatkan taraf tandas awam di negara ini sebaiknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda