Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masyarakat perlu amal etika kebersihan

    KUALA LUMPUR – Setiap kali melangkah masuk ke mana-mana tandas awam di sekitar ibu negara, Fadilah Ahmad, 64, pastinya akan mengeluh panjang melihat pelbagai kotoran, helaian tisu, tuala wanita yang berselerak dan tidak dibuang dengan betul ke dalam tong sampah.

    “Tidak pernah berubah,” getus hatinya. Bukan sahaja marah tetapi kesal dengan sikap pengotor segelintir masyarakat dalam soal penjagaan kebersihan tandas khususnya tandas awam.

    Bersara daripada pekerjaannya sebagai tukang cuci di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Lembah Klang sembilan tahun lepas, Fadilah sudah begitu ‘masak’ dengan sikap mementingkan diri sebahagian besar pengguna apatah lagi jika tandas itu berbayar.

    Mentaliti ‘ada tukang cuci yang mendapat gaji untuk membersihkannya’ membuatkan ramai tidak beretika dan bersikap tidak kisah termasuk untuk memastikan sampah dibuang ke dalam tong sampah, paip air ditutup, tandas dipam selepas digunakan dan tidak membazirkan tisu tandas serta penggunaan air.

    “Inilah masalah sikap segelintir masyarakat kita. Mereka fikir apabila sudah bayar untuk menggunakan tandas atau sudah menginap di sebuah hotel, ada pekerja yang boleh mencuci segala kekotoran yang mereka buat.

    Saluran sinki yang tersumbat menyebabkan air bertakung semasa tinjauan wartawan. Tandas situ sering rosak dan kotor kerana menjadi tumpuan golongan gelandangan yang menggunakan tandas berkenaan untuk mandi dan mencuci pakaian. – Gambar Bernama
    Tombol pintu tandas awam yang rosak semasa tinjauan pihak wartawan di salah sebuah masjid utama di tengah-tengah ibu kota, baru-baru ini. – Gambar Bernama
    Antara pengguna tandas awam ketika tinjauan di Batu Caves baru-baru ini. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    “Saya pernah menegur seorang yang mengotori tandas di lobi hotel selepas menggunakannya tetapi dimarahinya pula saya dan mengatakan itu adalah tugas tukang cuci,” kongsinya dengan Bernama.

    Masih ke belakang?

    Pengalaman sama dikongsikan Rashid Shukri, pengurus tandas awam di salah satu lokasi tumpuan pelancong di Batu Caves Selangor. Beliau turut berhadapan dengan sikap pengunjung yang tidak mempunyai kesedaran sivik ketika menggunakan tandas awam.

    Bukan sahaja kepala paip air di tandas awam jagaannya sering dicuri tetapi isu vandalisme turut berlaku seperti pintu tandas dirosakkan akibat disepak serta sikap pengguna yang membuang gumpalan tisu, seluar dalam dan tuala wanita ke dalam lubang tandas sehingga tersumbat dan rosak.

    “Isu kerosakan akan meningkat berkali ganda apabila tiba waktu puncak dan hujung minggu sehingga menyebabkan kami terpaksa menutup tandas bagi melakukan kerja baik pulih dan pembersihan. Ada kalanya, terpaksa membuka lubang kumbahan tandas untuk mengeluarkan sampah yang menyebabkan tandas itu tersumbat,” katanya.

    Tinjauan Bernama di salah sebuah masjid utama di tengah-tengah ibu kota mendapati tandas di situ sering rosak dan kotor kerana menjadi tumpuan golongan gelandangan yang menggunakan tandas berkenaan untuk mandi dan mencuci pakaian.

    Menurut wakil masjid yang tidak mahu namanya disebut, jumlah pengguna tandas di masjid berkenaan boleh mencecah 200 sehingga 500 orang setiap hari termasuk pelancong sehingga menyebabkan ada ketikanya imam dan bilal juga turun padang untuk memantau keadaan tandas.

    “Apabila pengguna terlalu ramai, pelbagai insiden boleh berlaku seperti kes kecurian kepala paip air sehingga menyebabkan pihak masjid perlu segera menggantikannya. Sebenarnya, pihak masjid sudah banyak kali melakukan pembaikan kemudahan tandas yang rosak dan boleh dikatakan hampir setiap minggu,” katanya.

    Masih menjadi cabaran

    Hakikatnya, isu tandas kotor masih lagi terus menjadi cabaran buat Malaysia apabila pada tahun 2022 sahaja sebanyak 5,241 buah tandas awam atau 20 peratus daripada 26,081 tandas awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berstatus dua bintang dan ke bawah (kurang bersih dan kotor).

    Jumlah berkenaan merangkumi tandas awam milik PBT dan swasta melalui Pemeriksaan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di bawah Program Tandas Awam Bersih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

    Peratusan itu meliputi semua kategori tandas awam seperti milik PBT, kedai makan/restoran, pusat beli belah, stesen minyak, rumah ibadat, hentian awam, pejabat kerajaan, pusat pelancongan, sekolah menengah/rendah dan institusi pengajian tinggi.

    Situasi ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan tandas bertaraf B.M.W (Bersih, Menawan, Wangi) yang menjadi sasaran kerajaan masih lagi jauh untuk dicapai sekali gus pasti menjadi cabaran menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025. Malaysia dijangka menerima lebih 23 juta orang pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan sebanyak RM76.8 bilion.

    Isu tandas ini turut mendapat perharian Menteri KPKT, Nga Kor Ming yang membuat kenyataan meminta semua 155 PBT di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam.

    Pihak berkenaan juga diminta melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual kerana kebersihan tandas awam berkait rapat dengan imej negara khususnya di destinasi utama pelancongan atau pintu masuk negara.

    Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dipetik berkata, setiap enam bulan sekali, JKT bersama PBT di seluruh negara akan menjalankan pemeriksaan dan penarafan bintang terhadap kesemua tandas awam di kawasan PBT.

    Hasil pemeriksaan dan penarafan tersebut, pemilik yang mendapat skor dua bintang ke bawah perlu melakukan kerja pembersihan dengan segera atau melakukan penambahbaikan tandas mengikut spesifikasi ditetapkan.

    “Berdasarkan garis panduan yang digunakan, pengiktirafan bintang tandas awam dikategorikan bermula satu hingga lima bintang berdasarkan kepada lapan aspek seperti keadaan persekitaran, struktur dan penyelenggaraan kebersihan.

    “Lima bintang merujuk amat bersih, empat bintang bersih, tiga bintang memuaskan, dua bintang sederhana bersih, satu bintang kurang bersih dan tiada bintang adalah kotor,” katanya sambil menambah sebanyak 20,840 tandas awam pada tahun 2022 adalah berstatus tiga bintang dan ke atas.

    Setakat tahun 2021 sehingga kini sebanyak 334 tandas awam milik PBT dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM5.2 juta.

    Wajibkan di sekolah?

    Sementara itu, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tuan R.Azraei Ramli mencadangkan supaya PBT dan pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menubuhkan skuad khas bagi memantau kebersihan tandas awam.

    Beliau berkata, skuad ini perlu diberikan kuasa untuk mengeluarkan notis dan kompaun bagi mereka yang gagal menjaga serta menggunakan tandas awam dengan beretika.

    Misalnya, jika skuad ini mendapati sesebuah tandas itu dalam keadaan sangat kotor dan terdapat fasilitinya rosak, mereka boleh mengeluarkan notis kepada pemilik atau penyelia tandas untuk menjalankan kerja pembersihan dan membaiki fasiliti yang rosak dalam tempoh masa tujuh hari.

    Sekiranya gagal, pemilik atau penyelia tandas akan dikenakan tindakan kompaun dan operasi pengambilan alih kerja pembersihan serta pembaikan fasiliti tandas berkenaan dilaksanakan oleh skuad ini.

    “Segala kos operasi akan dicaj kembali kepada pemilik atau penyelia tandas yang terbabit dan ini akan membuatkan mereka tidak lagi berani untuk membiarkan tandas awam dalam jagaan mereka kotor dan tidak terurus,” katanya.

    Bagi pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Syed Muhammad Syed Abdullah, etika menggunakan tandas awam perlu dididik sejak kanak-kanak lagi dan kerana itu beliau melihat ada keperluan untuk memasukkannya dalam mana-mana silibus pendidikan.

    Buat masa ini, beliau berkata, masih belum ada sebarang silibus khusus berkaitan de-ngan etika penggunaan tandas dan kepentingan menjaga tandas awam dan ini yang perlu ditambah baik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    “Kebanyakan silibus pendidikan hanya menghuraikan skop kebersihan secara umum seperti kebertanggungjawaban kebersihan dalam masyarakat kecuali kurikulum Pendidikan Khas (masalah pembelajaran) dalam buku teks Pengurusan Kehidupan Tahun Dua yang ada menyentuh kebersihan tandas.

    “Penambahbaikan silibus pendidikan ini adalah keperluan memandangkan masih ramai lagi tidak beretika ketika menggunakan tandas awam biarpun amalan kebersihan tandas didedahkan sejak prasekolah lagi atau rumah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda