Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 7 Nov – Untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan serta usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, Program Masyarakat Bermaklumat telah diadakan di Dewan Serba Guna Pusat Penyelidikan Pertanian, Kampung Sinaut, petang tadi.
Program yang dihadiri oleh seramai 44 orang terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung itu turut dihadiri sama tetamu kehormat, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga Penghulu Mukim Tanjong Maya.
Menurut Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Jabatan Penerangan, Hajah Siti Rabi’atul ‘Adawiyah binti Haji A.Ahmad, program itu merupakan salah satu landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan lawatan.
Ia turut diadakan secara berterusan di keempat-empat daerah selaras dengan usaha jabatan ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat.

Adapun tujuannya adalah untuk mengukuhkan jati diri dan memberi keyakinan yang tinggi dalam menangani cabaran dan pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan di negara ini.
Program kendalian Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Tutong selama dua hari itu turut mendengarkan taklimat daripada penceramah jemputan dari pelbagai agensi.
Antara tajuk taklimat yang diserapkan dalam program petang tadi itu ialah ‘Peranan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam Menangani Bencana’ dari NDMC dan ‘Isu Pengangguran dan Peluang Pekerjaan’ dari Jabatan Tenaga dan Perindustrian.
Turut hadir pada Program Masyarakat Bermaklumat itu ialah Ketua Kampung Sinaut, Haji Sidek bin Haji Mesir; Ketua Kampung Sungai Kelugos, Haji Ismail bin Haji Mohammad dan Ketua Kampung Kupang, Haji Awang Puasa bin Haji Kula.