Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Seramai 100 orang peserta terdiri daripada masyarakat Tionghua di Negara Brunei Darussalam telah menyertai Program Dialog Harmoni Kefahaman Islam yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pengembangan Dakwah dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Brunei-China.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara Kementerian Hal Ehwal Ugama dan masyarakat Tionghua di negara ini serta menyalurkan maklumat sahih mengenai agama Islam melalui sumber berautoriti.
Ia juga bermatlamat mendedahkan para peserta kepada nilai-nilai murni Islam berkaitan kemasyarakatan dan akhlak.
Peserta program terdiri daripada wakil Persatuan Persahabatan Brunei-China, Persatuan Perniagaan Tionghua, Sekolah Menengah Chung Hwa, Persatuan Tokong China Brunei, Bank of China, China Enterprise Association serta beberapa organisasi tempatan lain. Program berkenaan diadakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1447 Hijrah.



Kerjasama antara Pusat Dakwah Islamiah dan masyarakat Tionghua bukanlah sesuatu yang baharu, malah hubungan erat ini telah lama terjalin melalui pelbagai program seperti Seminar MIB dan Kefahaman Islam (1994), Perjumpaan Muhibbah (2013) serta Program Iftar Mahabbah yang diadakan setiap tahun di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Penganjuran sesi dialog ini sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperluas kefahaman tentang Islam kepada masyarakat bukan Islam.
Di samping memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di bawah naungan kerajaan Baginda.
Dialog berkenaan menampilkan dua tajuk utama, iaitu“Kefahaman Keluarga Islam” yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pengiran Mohammad Zainulariffin bin Pengiran Mohammad Hassan, dan tajuk kedua “Permakanan Halal” yang telah disampaikan oleh Pegawai Bahagian Permakanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Mu’iid bin Hariel.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, para peserta turut mengunjungi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi menimba ilmu dan pengalaman mengenai warisan keagamaan serta kebudayaan Islam di negara ini.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk melihat secara dekat koleksi khazanah Islam yang menjadi sumber pengetahuan serta inspirasi kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang nilai dan sejarah Islam di Negara Brunei Darussalam.

