Oleh Nurdiyanah R
TUTONG, 29 DIS – Bagi menggalakkan masyarakat mengekalkan gaya hidup sihat, Persatuan Masyarakat Tionghua Tutong telah mengadakan Program Taici Senegara 2020 bersempena Festival Disember Brunei 2020 di Hotel Lanes, Kampung Petani, Pekan Tutong baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat program tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkarai, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Pemangku Ketua Kampung Petani, Awang Zambri bin Haji Ibrahim; Pengerusi dan Ketua Persatuan Masyarakat Tionghua Tutong, Soon Seng Lee dan Guru Besar Sekolah Rendah Chung Hwa Tutong, Haji Yahya bin Haji Abdul Rahman.
Seramai lebih 40 orang menyertai program tersebut yang terdiri dari golongan warga emas sehingga kanak-kanak. Acara tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong, Haji Metamit bin Mat Zain dan disusuli dengan ucapan ringkas dari Soon Seng Lee sebelum memulakan sesi pemanasan badan dan juga senaman taici yang diketuai oleh ahli-ahli Persatuan Tai Chi Brunei.
Menurut Soon Seng Lee dalam ucapannya, taici merupakan salah satu senaman yang sudah lama wujud dan diamalkan sejak beribu tahun dahulu oleh masyarakat Cina. Taici merupakan senaman dengan pergerakan yang perlahan namun menggunakan tenaga dalam.
Oleh itu, ia begitu sesuai dilakukan oleh golongan warga emas dan juga semua lapisan masyarakat kerana ia dapat membantu masalah pernafasan, sendi-sendi dan otot serta membantu menurunkan darah tinggi dan mengurangkan masalah pencernaan usus jika diamalkan secara berterusan.
