KUALA LUMPUR, 2 JAN – Baru dua hari memasuki tahun 2020, Dr Maszlee Malik hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa Jumaat, 3 Januari.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu antara terawal dilantik sebagai anggota kabinet kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Dilahirkan di Johor Bahru, Maszlee, 45, merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum menyertai arena politik.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu turut menyumbang kepada beberapa badan pemikir dan sering menjadi ahli panel atau moderator bagi forum yang membincangkan isu-isu berkaitan politik Islam dan politik Asia Barat.
Maszlee memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan dan meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya, kedua-duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs di Universiti Durham, United Kingdom pada 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang ‘Good Governance’ pada 2011.
Sejak memegang jawatan menteri pendidikan, Mazlee telah berusaha memperkenalkan beberapa pembaharuan dalam sistem pendidikan yang mencetuskan reaksi dan polemik yang pelbagai. Ada yang mengganggapnya remeh dan ada pula yang merasakan ia tidak kena pada tempatnya.
Bermula dengan isu pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi murid sekolah rendah dan menengah, Mazlee tidak sunyi daripada kritikan daripada mereka yang menaruh harapan tinggi untuk melihat pembaharuan dalam sektor pendidikan negara.
Paling hangat ialah pengenalan pengajaran tulisan Jawi dan khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil yang menerima bantahan ibu bapa serta kumpulan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Kabinet menetapkan supaya tulisan Jawi dikekalkan dengan nama ‘pengenalan tulisan Jawi’ dan bukannya khat dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja, kepada murid Tahun 4 mulai 2020, murid Tahun 5 pada 2021 dan murid Tahun 6 pada 2022 di Sekolah Jenis Kebangsaan. Langkah itu tetap tidak popular dengan Dong Zong mahu menganjurkan persidangan isu tulisan Jawi itu dan telah dibantah sekeras-kerasnya oleh pelbagai NGO Melayu yang sebaliknya mahukan Dong Zong diharamkan. – Bernama