Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mata air panas sekat potensi geoterma Jepun

    Gambar AFP

    TSUCHIYU-ONSEMACHI, JEPUN – Dengan lebih daripada 100 gunung berapi aktif, Jepun mempunyai sumber geoterma ketiga terbesar di dunia, namun industri mata air panas semula jadi atau onsen yang kukuh telah menentang pembangunan sektor ini.

    Geoterma adalah sumber tenaga boleh diperbaharui yang menggunakan haba dari bawah kerak bumi – pilihan yang menarik untuk Jepun yang kekurangan sumber tenaga.

    Namun, mata air panas yang terdapat di seluruh Jepun adalah perniagaan yang besar, digemari oleh penduduk tempatan dan pelancong. Dan industri ini bimbang pembangunan geoterma mungkin membawa kepada pengurangan tahap air dan suhu di kemudahan mereka.

    “Sejujurnya, jika boleh, kami mahu usaha untuk pembangunan tenaga geoterma dihentikan,” kata Yoshiyasu Sato, naib presiden Persatuan Onsen Jepun.

    Air mandi di Tsuchiyu Onsen, terletak di antara gunung hijau sepanjang sungai yang berliku di Fukushima, timur laut Jepun, adalah satu pemandangan yang jarang ditemui – ia bersebelahan dengan sebuah loji geoterma kecil.

    Gambar fail November 2022 menunjukkan Masayo Moriyama, salah seorang pemilik hotel mata air panas, New Ougiya di Tsuchiyu Onsen, wilayah Fukushima.
    CEO Genki UP Tscuhiyu, Takayuki Kato, kelihatan di hadapan loji kuasa geoterma di wilayah Fukushima.

    Gambar fail 28 November 2022 menunjukkan orang ramai merendamkan kaki dalam mata air panas di wilayah Fukushima. Industri mata air panas di Jepun sangat kukuh yang menjadi penghalang ia membangunkan potensi tenaga geoterma.
    Pemandangan umum sebuah kawasan mata air panas Tsuchiyu Onsen di wilayah Fukushima. Dengan lebih 100 gunung berapi, Jepun berpotensi membangunkan tenaga geotermanya, namun dihalang industri onsen yang kukuh.

    Menurut Takayuki Kato, presiden Genki Up Tsuchiyu, sebuah organisasi kerajaan tempatan yang menguruskan skema tenaga boleh diperbaharui, gempa bumi, tsunami dan kemalangan nuklear pada tahun 2011 membawa perubahan di kampung itu.

    Kampung dengan populasi 300 orang itu telah rosak teruk akibat gempa bumi dan penduduk mula meneroka sama ada tenaga geoterma dapat membantu memulihkan keadaan mereka.

    “Orang di sini selalu tahu air panas boleh digunakan untuk tujuan lain, tetapi mereka tidak tahu bagaimana melakukannya,” katanya.

    Dana pembangunan semula digunakan untuk membina loji geoterma yang dibuka pada tahun 2015 di atas sumber air panas semula jadi yang telah ada.

    Ia terletak dua kilometer dari air mandi kampung, di mana lelaki dan wanita sering mandi tanpa sehelai benang.

    Menurut Kato, loji ini ‘tidak mengubah kualiti atau kuantiti air’ untuk onsen di kampung itu.

    Penjualan tenaga elektrik dari loji itu kini menyokong perkhidmatan bas percuma untuk kanak-kanak dan warga emas tempatan. Ia juga membolehkan kampung mengubahsuai bangunan yang tidak digunakan dan menyokong pertukangan kraf tempatan.

    Air panas tambahan dari loji itu telah mencipta daya tarikan baharu pelancongan – kawanan udang air tawar gergasi, yang dapat ditangkap dan dibakar untuk dinikmati.

    Bagi penyokong pembangunan geoterma, ini perkembangan kecil tetapi sesuatu yang agak cerah, yang boleh dicontohi di seluruh Jepun jika ada keinginan yang kuat.

    Buat masa ini, Jepun hanya menghasilkan 0.3 peratus daripada tenaga elektriknya daripada geoterma, tetapi potensinya sangat besar. Sumber geoterma Jepun dianggarkan sebanyak 23 gigawatt, setaraf dengan kira-kira 20 reaktor nuklear, dan hanya di belakang Amerika Syarikat dan Indonesia, menurut Agensi Sumber dan Tenaga Semula Jadi negara itu. Potensinya menjadi lebih menarik lagi kerana negara itu bergantung kepada bahan api yang diimport, terutamanya selepas bencana nuklear pada tahun 2011 yang memaksa penutupan reaktor nuklear.

    Sebelum pandemik, kira-kira 2,500 orang melawat loji Tsuchiyu setiap tahun, termasuk beberapa orang dari dalam industri onsen yang tertarik dengan kejayaannya. Namun, sangat sedikit yang dapat meniru projek ini, dan kerajaan Jepun mempunyai sasaran yang sederhana iaitu hanya satu peratus daripada tenaga elektrik dari geoterma menjelang tahun 2030.

    Pemilik onsen kadang-kadang ‘menolak untuk membincangkan’ kemungkinan projek geoterma di kawasan mereka, kata Kasumi Yasukawa, dari Bahagian Geoterma Agensi Keselamatan Tenaga Kerajaan (JOGMEC). Selain rintangan dari industri onsen yang ‘kuat’, kos permulaan yang tinggi dan halangan pentadbiran yang panjang juga menyekat mereka yang berminat untuk membina loji geoterma, katanya.

    Kerajaan telah membatalkan beberapa sekatan dalam beberapa tahun terakhir, membolehkan pihak berkuasa menyelidik pilihan di taman-taman negara di mana 80 peratus sumber geoterma ditemui. Tetapi pemilik onsen tetap dengan pendirian mereka, menegaskan bahawa sumber air adalah rapuh dan rentan terhadap pengambilan yang berlebihan.

    Sato dari Persatuan Onsen berpendapat geoterma sepatutnya tidak dianggap sebagai tenaga boleh diperbaharui, menegaskan bahawa loji Jepun sudah lama melihat kapasiti pengeluaran berkurangan dari semasa ke semasa.

    Yasukawa dari JOGMEC berpendapat sebaliknya, mengatakan bahawa pemaju terlebih menjangka potensi di lokasi-lokasi ini, sebahagiannya kerana kurangnya pengetahuan saintifik pada masa itu.

    “Kelihatannya bahawa ketakutan pemilik onsen hanya berdasarkan desas-desus,” katanya, menjelaskan bahawa projek geoterma mengambil air dari batuan atau sedimen yang menyokong air bawah tanah. “Tiada kaitannya dengan mata air panas,” yang menggunakan air daripada takungan yang lebih dekat ke permukaan, katanya.

    JOGMEC berharap projek seperti loji Tsuchiyu Onsen dapat mengubah fikiran orang ramai, tetapi tiada tanda-tanda industri air mata panas itu akan mengubah pendiriannya dalam masa terdekat.

    “Jika pendukung geoterma mempunyai kaedah penggerudian saintifik baharu yang boleh meredakan kebimbangan orang ramai, maka ia adalah lebih baik. Tetapi mereka tiada jawapan terhadap perkara itu,” jelas Sato. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda