Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mata hidupkan semula harapan Liga Juara-Juara Getafe

    MADRID, 30 JUN – Jaime Mata menjaringkan dua gol ketika Getafe berjaya menewaskan Real Sociedad 2-1 sekali gus memusnahkan harapan Sociedad ke kejohanan Eropah musim depan pada perlawanan yang berlangsung semalam serta memberi dorongan untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.

    Getafe telah beberapa kali terlepas peluang untuk mendapatkan tempat keempat teratas liga setelah tewas beberapa kali dan tanpa kemenangan dalam empat perlawanan sejak liga kembali semula berikutan wabak COVID-19, tetapi mereka kembali dengan kemenangan dan mempunyai kelebihan dua mata ke atas Sevilla yang berada di kedudukan keempat.

    Sociedad, yang berada di tempat kedudukan Liga Juara-Juara sebelum sekatan COVID-19 bermula, hanya memperoleh satu mata dari 15 mata yang sepatutnya dan kini berada tujuh mata dari tangga ketujuh La Liga.

    Keputusan seri 1-1 di perlawanan antara Sevilla dan Real Valladolid pada Jumaat lalu telah memberi peluang kepada Getafe untuk merapatkan jurang dan mereka mendahului perlawanan di minit ke-20 melalui sepakan penalti oleh Mata.

    Bekas pemain sayap Manchester United, Adnan Januzaj kembali menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat Sociedad 10 minit selepas rehat dan merupakan gol ketiga liganya musim ini.

    Tetapi Mata akhirnya mencipta peluang tujuh minit terakhir perlawanan ketika dia melakukan rembatan kencang melalui hantaran Jorge Molina yang meluru masuk ke gawang lawan sekali gus mengangkat Getafe ke tangga kelima liga.

    Villarreal yang berada di kedudukan keenam tetap dalam buruan Liga Juara-Juara dengan hanya satu mata di belakang Getafe. – AFP

    Aksi pemain tengah Real Sociedad, Mikel Oyarzabal (tengah) ketika mencabar pemain pertahanan Getafe, Marc Cucurella semasa perlawanan La Liga antara Getafe dan Real Sociedad di Stadium Coliseum Alfonso Perez, Madrid semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda