Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mata sepet disangka tidur cetus amaran berterusan dari kenderaan

    ZHEJIANG, 23 JUN – Seorang pemandu kereta rasa terganggu oleh amaran dari kenderaan baharunya kerana matanya yang sepet.

    Li, seorang pemandu muda dari Wilayah Zhejiang China, baru-baru ini membeli sebuah kereta mewah model Xiaomi SU7 Max, iaitu sebuah sedan EV yang dikuasakan oleh motor berkuasa tinggi yang mampu membawa kereta dari 0 hingga 100kmsj dalam masa 2.78 saat sahaja.

    Kereta Xiaomi SU7 semasa dipamerkan di sebuah kedai di Beijing pada Mac 2024. – Xinhua

    Ia sememangnya salah satu kereta elektrik yang paling diidamkan di dunia buat masa ini, tetapi bagi Li, ia adalah cukup menyusahkannya semasa memandu, menurut laporan Oddity Central.

    Tidak berapa lama selepas memandu buat pertama kali selepas baharu membelinya, dia sering diberi amaran, “Sila fokus pada pemanduan”, walaupun sebenarnya dia sedang fokus memandu.

    Mesej “Fokus pada pemanduan, beri perhatian kepada keselamatan,” juga turut muncul pada paparan digital kereta tersebut, dan dia mengambil sedikit masa untuk sedar bahawa matanya yang sepet menjadi punca masalah tersebut.

    Mata Li yang sepet mencetus amaran berterusan dari keretanya. – Oddity Central

    “Saya membuka mata saya dengan luas, kemudian saya tidak mendengar bunyi amaran,” kata Li dalam video yang telah menjadi tular di media sosial. “Tetapi apabila saya membuka mata seperti biasa, saya terdengar bunyi amaran sekali lagi. Nampaknya, mata saya terlalu kecil (sepet) sehingga kereta menyangka saya akan tertidur.”

    Dalam videonya, Li mengadu bahawa amaran tersebut disiarkan kira-kira 20 kali dalam satu perjalanan yang singkat, yang mana dia dapati sangat ia sangat menjengkelkan dan mengganggu.

    Lebih menarik lagi apabila banyak komen pada klip yang dikongsi adalah daripada pemandu kenderaan lain yang mendakwa turut mengalami masalah yang sama dengan kereta lain daripada jenama seperti Lynk & Co, Deepal dan lain-lain.

    Pemilik Xiaomi SU7 yang lain mendakwa telah melaporkan isu tersebut kepada pengeluar.

    Setelah video Li menjadi tular, Xiaomi mengeluarkan kenyataan mengatakan ia adalah sistem ‘pemantauan keletihan pemandu’ yang dipasang melalui kamera pada stereng kenderaan.

    Sekiranya sistem mengesan pemandu yang letih atau terganggu, ia akan menghantar audio serta amaran bertulis pada paparan dan sekiranya pemandu tidak bertindak balas, kereta mula menjadi perlahan sehingga ia berhenti sepenuhnya.

    Pembuat kereta China tersebut turut menjelaskan bahawa aplikasi pemantauan keletihan boleh dimatikan dalam tetapan, tetapi tidak disyorkan untuk berbuat demikian atas sebab keselamatan pemandu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda