ZURICH, 13 Mac – Penciptaan mata wang digital seperti bitcoin oleh bank-bank pusat dapat merevolusikan sistem kewangan global namun ia turut mendatangkan risiko penipuan, amaran Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa (BIS), semalam.
Menurut satu laporan, BIS berkata pelancaran mata wang kripto oleh bank-bank pusat berpotensi mendatangkan manfaat akan tetapi ia juga boleh memberi kesan buruk termasuk mendedahkan pusat perbankan kepada risiko serangan siber yang lebih besar.
“Potensi bagi penipuan mungkin lebih penting kerana fasiliti dengan jumlah yang besar dapat dipindahkan secara elektronik,” menurut laporan BIS, yang sering digambarkan sebagai bank sentral.
Laporan itu turut meminta bagi ‘kaedah pengurangan yang kukuh’ sebelum bank-bank pusat mempertimbangkan untuk menawarkan mata wang digital secara rasmi.
“Mata wang digital bank pusat boleh membantu dengan menyelesaikan sekuriti perdagangan dan pertukaran asing dengan lebih efisien pada masa hadapan,” menurut ketua Jawatankuasa Pembayaran dan Infrastruktur Pasaran (CPMI), sebahagian daripada BIS, Benoit Coeure.

Dia menambah bahawa banyak kerja dan eksperimen diperlukan untuk menyelidik kelebihan itu.
Menurut laporan itu, mata wang digital akan dapat mengubah bagaimana wang ditawarkan, mengukuhkan sistem pembayaran dan menjadi kaedah yang dipercayai untuk melaksanakan pembayaran sekiranya penggunaan mata wang tunai berkurangan.
Tetapi ia memberi amaran bahawa mata wang yang membawa risiko besar dan tidak menentu pada masa ini dipertimbangkan sebagai cara biasa bagi pembayaran atau simpanan.
“Matlamat utama mata wang digital bank pusat dapat merevolusikan bagaimana wang disediakan dan peranan bank pusat dalam sistem kewangan,” tambah Coeure. – AFP