Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mata wang digital mampu jadi ‘raja’ tukaran asing

    LONDON, 1 SEPT – Gabenor Bank of England (BoE), Mark Carney membayangkan mata wang maya, yang mengikut model Libra oleh Facebook, satu hari nanti akan menggantikan dolar sebagai ‘raja’ pasaran tukaran asing.

    Pemimpin utama BoE itu mengemukakan cadangan samar bertajuk ‘Mata Wang Hegemoni Sintetik’ pada Simposium Jackson Hole yang disertai ahli perbankan pusat baru-baru ini.

    Berikut adalah penilaian ringkas mengapa dolar kehilangan daya tarikannya dan tinjauan mengenai mata wang digital baharu oleh Carney, yang mungkin akan disokong oleh bank pusat utama seluruh dunia.

    Dolar sudah menjadi mata wang rujukan dunia sejak perjanjian Bretton Woods pada 1944, apabila beberapa unit mata wang utama ditetapkan pada nilai mata wang Amerika Syarikat (AS).

    Ia mengekalkan kuasa globalnya sejak itu, disebabkan oleh kuasa ekonomi dan politik AS.

    “Mata wang yang dominan kebiasaannya adalah milik kuasa politik terbesar dunia,” kata Ketua Penyelidik Ostrum Asset Management, Philippe Waechter.

    Dolar merangkumi hampir 62 peratus rizab tukaran asing global pada suku pertama 2019, demikian menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

    Mata wang tunggal Eropah di tempat kedua dengan 20.2 peratus, manakala yuan merangkumi hanya dua peratus meskipun China melonjak sebagai ekonomi kedua terbesar dunia di belakang AS.

    Walaupun dolar sudah kehilangan kuasanya disebabkan oleh globalisasi dan perubahan ekonomi dunia, pergerakan unit mata wang AS itu masih memberi impak ekonomi di tempat lain.

    “Perkembangan di AS mempunyai limpahan yang ketara dari segi prestasi perdagangan dan persekitaran kewangan beberapa negara, walaupun mempunyai pendedahan langsung yang terhad kepada ekonomi AS,” kata Carney pada pertemuan ahli perbankan pusat di Wyoming. – AFP/Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda