Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mata wang kukuh jejas jualan Ericsson

    STOCKHOLM, 16 JULAI – Pengeluar peralatan telekomunikasi dari Sweden, Ericsson kelmarin mengumumkan bahawa syarikat itu mencatat keuntungan pada suku kedua, namun keuntungan jualan telah dihapuskan oleh mata wang krona yang kukuh.

    Syarikat tersebut, yang merupakan perintis dalam pembinaan peralatan rangkaian telefon bimbit bersama pesaing dari Finland, Nokia, melaporkan keuntungan bersih sebanyak 4.6 bilion krona (AS$479 juta) bagi suku kedua, berbanding kerugian sebanyak AS$1.0 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu ekoran penyusutan nilai pelaburan di Amerika Syarikat.

    Bagaimanapun, jualan bersih yang ditukar kepada mata wang krona merosot enam peratus kepada 56.1 bilion krona.

    Penurunan hasil keluaran sebanyak 3.7 bilion krona itu adalah kurang daripada kesan anggaran sebanyak 4.7 bilion krona akibat kenaikan nilai krona berbanding mata wang lain, khususnya dolar AS.

    Sementara para pelabur memberi tumpuan kepada cara syarikat-syarikat menangani tarif AS, penyusutan nilai dolar berbanding kebanyakan mata wang lain turut memberi tekanan kepada syarikat-syarikat antarabangsa.

    Ibu pejabat syarikat telekomunikasi Ericsson di Kista, Stockholm pada 12 Julai 2024. – AFP

    Ketua Eksekutif Ericsson, Borje Ekholm berkata, “Adalah sesuatu yang menggalakkan apabila pertumbuhan di Amerika terus kekal dan Eropah pula telah stabil.”

    Jualan di rantau Amerika – pasaran terbesar Ericsson – tidak berubah mengikut mata wang krona, namun meningkat 10 peratus selepas ditolak kesan pertukaran mata wang dan perniagaan yang dihentikan.

    Sementara itu, jualan di Eropah merosot satu peratus selepas mengambil kira turun naik mata wang dan perubahan lain.

    Dalam pada itu, syarikat tersebut turut memaklumkan bahawa keuntungan operasi telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun hasil daripada langkah-langkah penjimatan kos.

    “Kami telah menurunkan asas kos kami secara berstruktur dan kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan lagi kecekapan,” kata Ekholm.

    Saham Ericsson merosot lebih tiga peratus dalam dagangan pagi di Stockholm dan telah jatuh lebih 17 peratus sejak awal tahun ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda