Matcha latte, minuman berwarna hijau lembut yang dihasilkan daripada serbuk teh hijau dari Jepun dan digabungkan bersama-sama susu, semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta kafe.
Dipersembahkan dalam bentuk menarik, menjadikan minuman ini ‘objek’ popular di media sosial selain dikaitkan dengan gaya hidup aktif sekali gus nampak lebih ‘sihat’ berbanding kopi.
Namun, sejauh mana minuman berasal dari Negara Matahari Terbit itu benar-benar baik untuk kesihatan?
Menurut Pegawai dietetik Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia, Nur Adilah Muhammadun Basar berkata, “walaupun serbuk halus yang dihasilkan daripada daun teh hijau berkualiti tinggi itu mengandungi banyak antioksidan dan boleh membantu meningkatkan fokus, kesannya tetap bergantung pada cara penyediaan dan kuantiti pengambilan”.
“Matcha memang lebih kaya antioksidan berbanding teh hijau biasa, tapi bila dibuat jadi latte dengan susu manis, sirap dan hiasan krim, boleh mengurangkan manfaat kesihatannya, malah menggalakkan tabiat pemakanan tidak sihat dan pengambilan kalori lebih tinggi ,” katanya kepada Bernama.
Katanya, “segelas latte yang tidak dicampur pemanis tambahan, ianya mengandungi sekitar 90 hingga 200 kalori bergantung pada susu digunakan, namun boleh meledak hingga 400 kalori bersamaan dengan lebih kurang 1.5 mangkuk nasi putih sekiranya ditokok sirap serta caramel drizzle yang tinggi kandungan gula.
Minuman sedemikian membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, masalah jantung dan kelesuan, bertentangan dengan khasiat yang sepatutnya diperoleh daripada matcha seperti kandungan antioksidan yang tinggi, peningkatan tenaga dan fokus mental serta sokongan kepada sistem imun dan metabolisme.
Beliau juga menjelaskan, secawan matcha dianggarkan mengandungi lebih dua kali ganda kandungan kafein berbanding teh hijau biasa, iaitu mencecah 70 miligram (mg) memandangkan ia dibuat daripada daun teh dikisar halus dan diminum sepenuhnya walaupun lebih rendah daripada kandungan kafein dalam kopi (120 mg).
Yang membezakan ialah kombinasi unik bahan semula jadi L-theanine dan kafein dalam matcha menghasilkan kesan lebih stabil dan menenangkan, menjadikannya pilihan sesuai untuk mereka yang mahu kekal fokus tanpa rasa gelisah atau crash seperti dialami oleh sesetengah individu selepas mengambil kopi.
“Jenis susu juga main peranan, sebagi contoh susu lembu boleh mengganggu penyerapan antioksidan matcha berbanding susu berasaskan tumbuhan seperti soya, oat atau badam yang lebih mesra matcha,” katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara, Dr Mohd Hairi Jalis pula berpendapat, penggunaan sirap gula dan perisa tambahan seperti vanila dan karamel bukan sahaja ‘menenggelamkan’ khasiat malah boleh ‘merosakkan’ rasa asal matcha.
“Matcha yang betul-betul asli terutama yang menggunakan gred tinggi ada identiti rasa tersendiri, iaitu rasa ‘umami’ yang halus, sedikit pahit tapi menyegarkan dan ada aroma tumbuhan semula jadi.
“Tapi di Malaysia, kebanyakan orang kita ini ‘manis-friendly’, especially kalau dah biasa dengan air macam teh tarik, ‘green tea frappé’ dan manisan boba. Jadi kafe dan barista perlu kreatif untuk gabungkan keaslian dengan selera orang Malaysia yang suka rasa manis,” katanya.
Bagi gabungan dan pemilihan susu pula, pensyarah di Jabatan Gastronomi dan Seni Kulinari, Mohd Hairi menjelaskan, susu oat dilihat menjadi pilihan popular disebabkan sifat manis semula jadi serta tekstur yang hampir sama dengan susu lembu selain tidak menenggelamkan rasa matcha serta lebih mudah menghasilkan buih ‘latte art’, sekali gus menampilkan persembahan lebih menarik.
Selain berpandangan cabaran utama dalam penyediaan minuman tersebut ialah memastikan rasa tidak terlalu pahit atau ‘flat’ yang dipengaruhi oleh kualiti serbuk teh serta teknik bancuhan yang betul.
“Suhu air yang sesuai ialah antara 70 hingga 80 darjah Celsius, dan susu pula tidak boleh terlalu panas agar rasa manis semula jadinya kekal.
“Sebaiknya gunakan pemukul buluh supaya bancuhan jadi halus tanpa gumpalan, dan menambah nisbah susu juga perlu tepat agar tekstur minuman tidak terlalu cair atau pekat,” katanya. – Bernama




