KUCHING, 27 Jun – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini melahirkan kekesalan atas kematian seorang kanak-kanak akibat bermain mercun di sini baru-baru ini dan mahu tindakan tegas diambil terhadap yang berkenaan.
“Saya ingin maklumkan kes ini dalam siasatan polis di bawah Akta Kanak-kanak (Kecuaian Ibu Bapa). Kita akan bertegas untuk ambil tindakan di atas pengabaian kerana membiarkan anak bermain seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa atau ibu bapa,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini.
Mengulas lanjut, Rohani berkata beliau akan membawa kes itu untuk dibincangkan dalam Majlis Kanak-kanak Malaysia yang dijangka bermesyuarat selepas sambutan Aidilfitri.
“Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia untuk memberi kaun-seling kepada ibu bapa serta ahli keluarga adik Haiqal Hakim, mereka mungkin masih trauma dengan insiden tersebut,” katanya. – Bernama