MANCHESTER, 3 MAC – Bos Manchester United, Ruben Amorim berkata The Red Devils perlu sasarkan untuk kembali ke puncak Liga Perdana selepas tersingkir dari Piala FA kepada Fulham menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin.
Kekalahan kepada Cottagers menambahkan lagi permulaan yang menyedihkan pada masa United turun tangga ke-14 Liga Perdana, 34 mata di belakang pendahulu Liverpool.
Bagaimanapun, jurulatih Portugal itu berkata untuk tamatkan penantian kelab sejak 2013 menjadi juara Liga Perdana adalah matlamat utamanya di Old Trafford dan bukannya kejayaan piala.
“Matlamatnya adalah untuk memenangi Liga Perdana, jadi saya tahu bahawa kami kalah dalam perlawanan dan kehilangan trofi pada musim ini tetapi matlamatnya adalah untuk memenangi Liga Perdana sekali lagi,” kata Amorim.
“Saya tidak tahu berapa lama masa akan diambil tetapi itu adalah matlamat kami. Jika awda fikir seperti itu, kami boleh menderita sedikit dalam kekalahan ini, kadang-kadang banyak. Tetapi kami mempunyai matlamat, jadi kami terus ke hadapan tidak kira apa pun.”
Hastar United berada di puncak sekali lagi nampaknya menjadi angan-angan pada masa ini apabila Amorim hanya memenangi lima daripada 16 perlawanan liganya.
“Adalah mustahil untuk mengetahui (berapa lama ia akan diambil),” tambahnya.
“Saya fikir pemain jadi bertambah baik, kami lebih memahami liga, kami tahu apa yang perlu dilakukan dengan skuad, apakah masa hadapan dan kami akan lihat nanti.”
Perhatian United segera beralih kepada Liga Europa, yang kini menjadi satu-satunya harapan mereka untuk menjulang trofi musim ini.
Anak buah Amorim bakal berdepan aksi sukar 16 terakhir menentang Real Sociedad dan peluang mereka tipis jika dipaksa bermain sehingga 120 minit.
“Ia sangat penting tetapi kami perlu pulihkan pemain, cuba mendesak pemain lain yang boleh bermain kerana mereka (pemain utama) benar-benar letih,” kata Amorim. – AFP
