KUALA LUMPUR, 25 Sept – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerajui misi perdagangan menerusi Misi Pemecutan Eksport (EAM) bagi mempromosi minyak, gas dan keupayaan tenaga Malaysia di rantau Asia Tengah dan Caspian minggu depan.
Misi ini seiring dengan Pameran Minyak dan Gas Antarabangsa Kazakhstan (KIOGE) 2018 di Baku, Azerbaijan mulai 24 hingga 26 September dan di Almaty, Kazakhstan mulai 26 hingga 28 September, kata agensi promosi perdagangan nasional tersebut dalam satu kenyataan di sini. Sebanyak 15 syarikat Malaysia yang mewakili produk dan perkhidmatan daripada pelbagai segmen perindustrian seperti perkhidmatan radiasi, perkhidmatan integrasi sistem, perkhidmatan kejuruteraan serta sistem dan kelengkapan saluran paip turut menyertai misi tersebut.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, KIOGE 2018 akan menjadi platform ideal bagi syarikat Malaysia untuk meningkatkan peluang perangkaian perniagaan mereka kerana ia merupakan pameran perdagangan minyak, gas dan tenaga terbesar di rantau Asia Tengah.
Keyakinannya untuk mendapatkan hasil yang baik adalah berasaskan fakta bahawa agensi itu sebelum ini telah menganjurkan inisiatif yang sama pada 2015, di mana 10 syarikat Malaysia melaporkan jualan sebanyak RM860.98 juta, kata kenyataan itu. – Bernama