MANILA, 18 Mei – Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao berkata hasil pertarungannya menentang petinju Argentina Luca Matthysse Julai depan akan menentukan sama ada dia akan bersara dari kerjaya itu.
Selepas setahun tidak berlatih, petinju 39 tahun itu telah memulakan latihannya dua minggu lebih awal dari biasa untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi dalam saingan nanti.
“Saya tidak mengatakan ia akan menjadi yang terakhir, akan tetapi ia akan menjadi asas kepada saya untuk memikirkan sama ada saya perlu meneruskannya atau tidak,” kata Pacquiao kepada AFP selepas latihan di Manila, semalam.
“Saya cuba melakukan yang terbaik dalam latihan bagi pertarungan ini untuk melihat sama ada saya boleh melakukannya atau tidak,” tambahnya.
Setakat ini, Pacquiao telah menang gelaran dunia dalam lapan kelas berat yang tidak pernah berlaku sebelum ini, akan tetapi pengkritik termasuk Matthysse, empat tahun lebih muda daripada Pacquiao mempersoalkan mengenai kebolehannya untuk bertinju pada kemuncak pertarungan keranan usianya.

Petinju itu, yang menang 38 daripada 47 pertarungan profesional pertamanya dengan kalah mati, tidak pernah ditewaskan selama sembilan tahun.
Kedua-dua petinju itu akan berdepan bagi saingan World Boxing Association di Malaysia pada 15 Julai depan.
Pertarungan itu muncul setahun selepas Pacquiao tewas di tangan petinju Australia Jeff Horn ketika memburu kejuaraan di World Boxing Organisation.
Sementara itu, Matthysse telah menjuarai tali pinggang WBA selepas berjaya menumpaskan Teerachai Sithmorseng dari Thailand pada Januari lalu. – AFP