Thursday, April 17, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maulud Nabi disambut 28 Sept

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah akan diadakan pada 28 September depan secara serentak di keempat-empat daerah.

    Sehubungan itu, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah mempelawa penyertaan pasukan-pasukan dan orang ramai bagi sama-sama menyertai sambutan itu nanti.

    Penyertaan bermula hari ini dan dibukakan kepada pasukan-pasukan beruniform, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah menengah dan institusi-institusi pengajian tinggi, kampung-kampung, majlis perundingan kampung dan takmir masjid, serta persatuan-persatuan dan sektor swasta.

    Borang penyertaan bagi Daerah Brunei dan Muara boleh didapati daripada Urus Setia Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah iaitu Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Tingkat 2, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) atau memuat turun di laman sesawang KHEU, http//: kheu.gov.bn.

    Borang penyertaan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar kepada pihak urus setia berkenaan, melalui faks 2382351 atau e-mel kepada syiar.islam@mora.gov.bn.

    Sementara itu, borang-borang penyertaan bagi Daerah Belait, Tutong dan Temburong bolehlah diperolehi di pejabat hal ehwal ugama daerah masing-masing dan dikembalikan ke pejabat sama.

    Tarikh tutup pendaftaran dan mengembalikan borang penyertaan ialah pada 16 September pukul 4 petang.

    Sebarang pertanyaan lanjut mengenainya bolehlah menghubungi Urus Setia Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1445 Hijrah iaitu Awang Abdul Rahim bin Haji Durahman (8865741) atau Dayang Mohaizah binti Haji Mahtar (8839641) atau di talian 2382311 sambungan 232 atau 234 atau 237.

    Gambar fail bertarikh 9 Oktober 2022 menunjukkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar Infofoto
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda