Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mauritius, La Reunion bakal hadapi ancaman puting beliung

    MAURITIUS, 27 FEB – Destinasi pelancongan di Lautan Hindi, Mauritius dan La Reunion, bersiap sedia hari ini menghadapi ribut tropika kuat, puting beliung Garance, yang diklasifikasikan sebagai “ancaman langsung” kepada pulau-pulau tersebut. Mauritius telah menutup lapangan terbang utamanya sehari sebelumnya, manakala pulau Perancis yang berdekatan, La Reunion, dijangka melakukan perkara yang sama hari ini.

    Garance diklasifikasikan sebagai puting beliung kelas 3 oleh Mauritius tahap amaran kedua tertinggi, dengan tiupan angin kencang mencecah 70 km/j dijangka melanda.

    Perkhidmatan Meteorologi Mauritius melaporkan bahawa puting beliung itu berada 310km di Barat laut pulau tersebut, dan telah meningkat menjadi “ribut tropika kuat”.

    “Puting beliung ini semakin menghampiri Mauritius dengan bahaya, dan merupakan ancaman langsung,” katanya, sambil menambah bahawa banjir dijangka berlaku.

    Garance sedang bergerak ke arah Timur tetapi telah membelok ke selatan untuk melalui kawasan antara Mauritius dan pulau Perancis, La Reunion. Pihak berkuasa tempatan La Reunion berkata mereka akan mengisytiharkan amaran merah dan menutup lapangan terbang hari ini.

    Perkhidmatan cuaca Perancis, Meteo-France, menjangkakan puncak kekuatan puting beliung itu berlaku lewat hari ini atau pada waktu malam.

    Tiupan angin melebihi 150km/j dijangka di kawasan tertinggi di La Reunion, disertai hujan lebat dan laut bergelora.

    Amaran merah akan memerlukan penduduk untuk kekal di dalam rumah, dan hanya perkhidmatan kecemasan dibenarkan bergerak di sekitar pulau.

    Sekolah-sekolah telah ditutup sejak petang kelmarin. Syarikat penerbangan Air Mauritius mengumumkan bahawa semua penerbangan digantung “sehingga diberitahu kelak”. – AFP

    Ahli meteorologi operasi Meteo-France memantau puting beliung tropika “Garance” yang menghampiri pulau wilayah luar negara Perancis, La Reunion, di Saint-Denis de la Reunion pada 26 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda