TAIPEI, 30 JUN – Seorang budak Taiwan berusia tujuh tahun yang dalam keadaan koma selama dua bulan selepas dihumban berulang kali ke lantai semasa kelas judo, telah meninggal dunia, kata sebuah hospital hari ini.
Budak lelaki itu yang dikenal pasti menerusi nama keluarganya, Huang telah dikejarkan ke Hospital Feng Yuan di tengah bandar Taichung pada 21 April selepas dia dilaporkan dihumban 27 kali oleh jurulatih judonya.
Dia mengalami koma selama 70 hari akibat pendarahan otak dan masalah pernafasan serta beberapa kegagalan organ sebelum ibu bapanya memutuskannya untuk menghentikan sokongan bantuan pernafasannya kelmarin, kata pegawai hospital memberitahu AFP.
Jurulatihnya dikenali dengan nama Ho telah didakwa bulan ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan teruk ke atas kanak-kanak dan menggunakan kanak-kanak untuk melakukan jenayah, kata pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Jurulatih mengarahkan kanak-kanak lain untuk berlatih dengan Huang meskipun budak itu belum mengetahui gerak asas judo dan dia mula menggunakan beberapa teknik lontaran ke atas kanak-kanak itu selepas dia berkata ‘jurulatih terencat akal’, menurut kenyataan.
Budak lelaki itu mengadu sakit kepala teruk namun Ho terus melontarnya puluhan kali sehingga menyebabkannya muntah, tambah kenyataan itu.
Jurulatih itu tidak berhenti sehinggalah Huang tumbang tidak sedarkan diri di lantai, kata pendakwa raya. – AFP